Rabu, 11 November 2009

PGSM dakwa Asri langgar janji

Jimadie Shah Othman


Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini mendakwa bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah melanggar janji untuk tidak mendedahkan persetujuan persatuan itu untuk memohon maaf kepadanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Presiden PGSM, Mohd Isa Abd Ralip bagaimana enggan mengulas lanjut dan hanya berkata: "Kita tunggu dan lihat".

Khamis lalu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberitahu media selepas berceramah di Pulau Pinang bahawa PGSM memberi jaminan bertulis untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik semua tuduhan terhadapnya.

Bekas mufti Perlis itu dilaporkan berkata, jaminan bertulis itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya oleh Mohd Isa sendiri selepas pertemuan dua jam di sebuah hotel di ibu negara pada hari hari yang sama.

NONEDr Mohd Asri juga dilaporkan berkata, jaminan bertulis itu juga turut ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal-ehwal Islam, Datuk Mohamad Jamil Khir Baharum sebagai saksi.

Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz juga, kata Asri, turut menghadiri pertemuan tersebut.

Sebelum itu, PGSM telah menghantar memorandum - yang disokong oleh 13 NGO Islam - kepada Yang di-Pertuan Agong membantah cadangan pelantikan Dr Mohd Asri sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dr Mohd Asri juga memberitahu media bahawa PGSM akan memohon maaf secara terbuka kepadanya dengan disiarkan dalam laman web rasmi persatuan tersebut dan melalui saluran media yang lain.

Bekas mufti Perlis itu berkata beliau memberi tempoh sehingga jam 7 malam Jumaat lalu untuk PGSM berbuat demikian.

Bagaimanapun, selepas tamat tempoh tersebut, PGSM tidak memohon maaf sepertimana yang dituntut oleh Dr Mohd Asri.

Sementara itu, Mohd Isa berkata, pihaknya ada menerima surat tuntutan guaman daripada Mohd Dr Asri berhubung perkara itu, Jumaat lalu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mendedahkan kandungan surat tuntutan tersebut.

Mohd Isa juga enggan mengulas apabila ditanya bahagian manakalah daripada kandungan memorandum itu yang hendak ditarik balik.

Namun begitu, presiden PGSM itu berkata persatuannya tidak tertekan dengan tindakan Dr Mohd Asri yang dilihat mendapatkan sokongan politik.

"Setakat ini, kita tunggu dan lihat. Kita tidak mahu panjangnya di media. Kita lihatlah perkembangannya nanti," kata Mohd Isa.

Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan telah menghantar surat tuntutan guaman kepada PGSM berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini beliau menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk meneliti tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan: