Sabtu, 21 November 2009

PGM dapat 19 kapal baru bernilai RM24 juta

UTUSAN ONLINE


MIRI - Pasukan Gerakan Marin (PGM) akan memperoleh 19 kapal baru bernilai kira-kira RM24 juta menjelang tahun depan dalam usaha mempertingkatkan keupayaan pasukan itu.

Timbalan Komander PGM Bukit Aman, ACP Muhammad Daud berkata, 14 daripada kapal itu telah siap dibina manakala lima lagi kapal berkelas PA yang berukuran 20 meter panjang setiap satu, dalam peringkat akhir pembinaan di sebuah limbungan di Perlis.

Kapal-kapal yang sudah siap dan mula beroperasi pula ialah sepuluh bot jenis 'WaterCat' untuk pengangkutan dan pendaratan anggota serta operasi menyelamat serta empat kapal kelas PC IC16M untuk tujuan operasi kilat dan rondaan laut, katanya pada sidang akhbar sempena penyerahan kapal PC IC16M yang keempat di sini, hari ini.

Kapal berukuran 18 meter panjang itu mempunyai kelajuan maksimum 48 knot (kira-kira 90km sejam) serta dilengkapi peralatan navigasi terkini bernilai kira-kira RM4.9 juta sebuah.

Ia dibina oleh sebuah syarikat pembinaan kapal tempatan di sini, DNSS Boat Builders Sdn. Bhd.

Pada majlis itu, Muhammad menerima bot itu bagi pihak PGM daripada Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri, Abdullah Che Mat.

Tiada ulasan: