Khamis, 12 November 2009

Pesawah Kelantan kerugian RM18.2 juta

UTUSAN ONLINE


TUMPAT - Sebanyak 4,054 hektar sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) musnah dengan kerugian awal ditaksirkan bernilai RM18.2 juta akibat banjir baru-baru ini.

Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat berkata, ia membabitkan tanaman yang diusahakan oleh kira-kira 1,200 petani di lima jajahan yang terjejas teruk.

"Jumlah kerugian sangat banyak ditanggung kali ini disebabkan banjir berlaku terlalu awal menyebabkan banyak tanaman yang telah sedia untuk dituai musnah," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, KADA akan melakukan bancian dan menyiapkan laporan mengenai jumlah sebenar kerugian untuk dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mendapatkan bantuan.

"Hampir keseluruhan kawasan yang terjejas ini membabitkan tanaman padi yang hampir masak dan sedia untuk dituai dalam beberapa hari lagi," katanya ketika melawat kawasan yang terjejas di Kampung Teluk Jering di sini hari ini.

Katanya, jajahan Tumpat paling teruk terjejas iaitu melibatkan keluasan 1,639 hektar diikuti Pasir Mas (1,242 hektar); Bachok (618 hektar); Pasir Puteh (532 hektar) dan Kota Bharu Selatan seluas 23 hektar.

Tambahnya, KADA kemungkinan akan meminta bantuan dana sekurang-kurangnya RM7.2 juta daripada kementerian untuk diberikan kepada petani yang terjejas sebagai sagu hati.

"Bagi setiap hektar yang terjejas, wang sagu hati adalah bernilai RM1,800 tetapi jumlah ini berubah-ubah mengikut peringkat tanaman.

"Kalau padi yang baru ditanam maka jumlah wang sagu hati juga sedikit kerana kerugian yang ditanggung tidak terlalu banyak," ujarnya.

Ibrahim menjangkakan, bantuan dana itu akan diterima selewat-lewatnya dua minggu selepas laporan kerosakan diserahkan untuk meringankan beban petani yang akan membuat penanaman semula.

Tambahnya, semua bantuan yang diberikan adalah berbentuk wang tunai dan hanya beberapa kes sahaja di mana KADA akan memberi bantuan berbentuk baja atau pun peralatan.

Tiada ulasan: