Jumaat, 6 November 2009

Peruntukan RM50.1j bantu pekebun tanam semula sawit

BERITA HARIAN ONLINE


KERAJAAN memperuntukkan bantuan RM50.1 juta kepada pekebun kecil bagi menanam semula kelapa sawit yang berusia melebihi 25 tahun dan tidak produktif, tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainudin (atas), berkata bantuan bernilai RM6,000 sehektar itu meliputi perbelanjaan penyediaan tapak serta pembelian anak benih, baja dan racun.

Beliau berkata, bantuan itu ialah antara usaha terbaru yang dilaksanakan kerajaan untuk menstabilkan harga sawit dengan mengimbangi pengeluaran minyak sawit mentah.

"Selain itu, usaha berterusan sedang dijalankan, termasuk mempergiat aktiviti promosi minyak sawit dalam pasaran semasa, berpotensi dan baru serta juga mempergiat pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan, terutama aplikasi minyak sawit mentah seperti pembuatan keju serta aiskrim.

"Selain itu, melaksanakan adunan biobahan api sawit dengan diesel petroleum dalam sektor pengangkutan negara secara berperingkat, serta melaksanakan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (Pas-Kota Bharu) mengenai usaha terbaru kerajaan untuk menstabilkan harga getah dan kelapa sawit.

Hamzah berkata, Malaysia dan Indonesia selaku pengeluar utama minyak sawit dunia, setuju bekerjasama memperkukuh harga minyak sawit, termasuk melaksanakan program penanaman semula.

Selain itu, katanya, melaksanakan penggunaan biobahan api secara mandatori, menggalakkan pelaburan dalam industri hiliran serta menangani halangan bukan tarif bagi eksport biobahan api berasaskan sawit ke pasaran utama seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Tiada ulasan: