Khamis, 5 November 2009

Persoal keputusan Najib, Mohamad Aziz patut kena tindakan disiplin

Abdul Aziz Ismail
(PENDAPAT)


Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz menimbulkan kekecohan dalam Barisan Nasional baru-baru ini apabila mengkritik secara terbuka presiden Gerakan dan MCA.

Sepatutnya Mohamad menulis surat atau bertemu secara peribadi Perdana Menteri atau timbalannya bagi meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap prestasi presiden MCA dan Gerakan.

Bukan caranya mendedahkan di Parlimen dengan nada marah menyelak kelemahan pemimpin-pemimpin rakan komponennya dalam BN kerana ada cara lain lebih tertib boleh dilakukan.

Apatah lagi mempersoal keputusan Najib melantik presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai menteri yang seharusnya dimengerti sebagai kuasa prerogatif perdana menteri yang tidak boleh dipertikai.

Mohamad, yang terkenal bermulut celupar dan lantang bersuara di parlimen - menyokong dan mengkritik dasar kerajaan - lebih berani mendesak presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat meletak jawatan kerana tidak mendapat sokongan daripada ahlinya berdasarkan EGM lalu.

Gesaan beliau juga berdasarkan alasan Ong yang masih belum dapat merungkaikan segera kemelut dalaman partinya yang disifatkan sebagai beban besar kepada Najib dan BN.

Tindakan di luar jangkaan Mohamad mengkritik keras rakan pemimpin komponan dalam BN mendapat reaksi positif segelintir penyokong kerajaan dan ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Tetapi tidak bagi Najib yang mempersoal keterlanjuran dan kelancangan beliau mencampuri urusan kuasa istimewa beliau melantik seseorang sebagai menteri yang seharusnya tidak didedah dan dihebuhkan kepada umum di dalam Parlimen.

Tindakan Mohamad itu - secara langsung atau tidak - sudah mempertikai kebijaksanaan Najib melantik pemimpin tersebut sebagai ahli kabinetnya. Ini sudah menimbulkan kemarahan Najib yang menegaskan tidak sesiapa pun boleh mempertikai hak beliau sebagai orang nombor satu negara yang berhak melantik siapa saja yang difikirkan layak dan sesuai termasuk Koh.

Menurut Najib, perlantikan Koh dibuat bersandarkan pertimbangan jauh demi kebaikan BN. Katanya, Koh dilantik menteri kerana mahu menghargai peranan parti komponen itu dalam BN walaupun beliau tewas dalam pilihan raya lalu.

Kes Mohamad sudah dicadangkan supaya dirujuk kepada Lembaga Disiplin Parlimen tetapi pengerusinya, juga timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekedar memberi amaran mulut tanpa tindakan tegas seperti yang diharapkan.

Pemerhati politik berpendapat, jika ahli Parlimen pembangkang yang membangkitkan isu itu hal sebaliknya mungkin berlaku. Mereka itu boleh didakwa menghina parlimen dan mempertikai kuasa istimewa seorang perdana menteri.

Soalan juga dibangkitkan, kenapa Mohamad begitu berani membangkitkan isu itu di Parlimen yang dianggap remeh pada hal ada banyak isu terdesak lain yang boleh disuarakan menyentuh kepentingan rakyat?

Siapakah yang mendesak beliau membangkitkan isu itu yang secara langsung mempertikai kebolehan Dr Koh dan Ong sebagai ketua parti masing-masing?

Ada teori mendedahkan Mohamad mewakili suara pihak dan pemimpin tertentu yang mahukan Ong meletak jawatan kerana ketegasannya menangani isu PKFZ.

Pemimpin itu dikatakan ketua kelab penyokong kerajaan yang sekarang ini menghadapi kes mahkamah dengan presdien MCA itu yang menuntut gantirugi RM 500 juta.

Menurut Mohamad, Ong juga gagal menyelesaikan kemelut MCA yang semakin meruncing dan berterusan tanpa jalan keluar yang konkrit. Ong telah membuat Najib susah hati dan bimbang tentang nasib MCA yang bakal tidak mendapat sokongan kaum Cina dalam pilihan raya ke-13 kelak.

Jika MCA tidak segera menamatkan krisis dalamannya peluang BN untuk memenangi undi orang Cina semakin sukar dan ini pasti menghampakan pemimpin Umno.

Katanya lagi, beliau tidak berpuashati dengan prestasi Koh sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai KPI kerana tidak menunjukkan KPI yang sepatutnya kepada menteri lain.

Beliau tidak mempertikai kuasa Najib melantik Koh sebagai menteri, cuma mendedahkan perasaan tidak puas hati tentang ketidakhadiran kerap Koh di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.

Katanya, Koh harus menunjukkan kesungguhan menjalankan tugas sebagai menteri dan membuktikan komitmennya kepada kerajaan dan Najib yang sudah memberi kepercayaan besar kepadanya.

Pendapat umum mungkin memihak Mohamad kerana tindakan berani beliau membangkitkan isu itu kepada rakyat demi kepentingan rakyat. Tetapi ia juga boleh berlaku sebaliknya dan menjejas peluang beliau dipilih semula sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib mungkin tersinggung dan sedikit terhiris dengan tindak tanduk Mohamad yang agak melampau.

Beliau boleh mengambil tindakan drastik jika menganggap ahli Parlimen Sri Gading itu sudah bertindak keterlaluan dan melintasi garisan moral yang dibenarkan dengan mempersoal kebijaksanaan beliau mengambil keputusan sebagai perdana menteri. _

Tiada ulasan: