Sabtu, 21 November 2009

Permohonan tangguh kes DUN Kota Siputeh Isnin

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) akan membuat keputusan Isnin ini berhubung permohonan penangguhan difailkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusannya pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebagai kosong.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan panjang lebar daripada Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili SPR dan Sulaiman Abdullah, peguam bagi Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

SPR memfailkan permohonan berkenaan pada 17 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal hadir persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada 1 September, Dr Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih Adun kawasan berkenaan.

Di samping permohonan penangguhan, SPR dan Abu Hassan turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan bersejarah itu, Alizatul Khair turut mengarahkan SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi berkenaan.

Dalam penghujahannya, Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa jika permohonan penangguhan itu ditolak, ia akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil yang membabitkan banyak wang dan SPR sudah pun membelanjakan sebanyak RM200,365 pada pilihan raya umum lalu di DUN Kota Siputeh saja.

“Ia adalah pembaziran wang pembayar cukai, selain akan mengakibatkan ketidakadilan yang sangat besar kepada suruhanjaya berkenaan,” tegas Kamaluddin.

Tiada ulasan: