Ahad, 8 November 2009

Perlukah tauliah untuk mengajar agama Allah?

Oleh Ali Bukhari Amir


Dr Mohd Asri Zainal Abidin (selepas ini ditulis sebagai Dr Maza) bukanlah tidak pernah bersalah. Beliau juga manusia biasa. Titipan pendapatnya beralun di media dan gelombang pandangannya sentiasa berlaga dengan arus pemikiran lama, fatwanya pernah disifatkan sebagai candu madat yang menyihir khalayak, dengan slogan angin-angin pembaharuan, dan ia berolak, bergelora penuh waspada.

Bukan sedikit kontroversi yang dicetuskannya telah mara lalu menghempas ke pelabuhan intelektual negara ini, lalu di setiap hujung lidahnya seakan-akan ada duri menikam ke lubuk jantung ramai pihak, tertusuk ke dasar hati para pimpinan Umno dan tidak ketinggalan juga ahli-ahli Pas sendiri.

Sebenarnya, Dr Maza ini berbeza pendapat dengan sesiapa sahaja, tetapi hampir semua kenyataannya, walaupun bersulam sindiran, jenaka, berulam kalam sinis, tapi semua khilaf pandangan itu masih tertakluk dalam wilayah ilmiah, dan sikap melagakan pendapat yang menyongsang arus itu masih terperap di daerah akademik, masih jua terbelenggu di mukim intelektual.

Dalam ruang terbatas dan luang terhad ini, sukar kita sumbat segala perkara untuk menyusun semua pendapat beliau yang kontroversi itu. Ya, dengan sebab itu juga, tentu saja beliau mencipta ramai musuh secara tidak sengaja. Seterunya hadir di celah-celah kelompok mana sahaja, dalam medan politik kepartian dan tentu juga di sebalik dinding madrasah dan gelanggang dakwah.

Meneropong akhbar Berita Harian, Isnin, 2 November yang berbunyi - "Bekas Mufti Perlis didakwa mengajar tanpa tauliah", banyak pertanyaan yang boleh diangkat daripada tajuk berita ini. Juga makin berlaksa persoalan yang tumbuh berbangkit jika ditinjau daripada bait-bait perenggan yang terakam dalam laporan berkenaan.

"Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut," demikian isi laporan itu dipetik. Lebih baik kita bersangka baik terlebih dahulu ketika meneropong penggunaan ayat; 100 pengikut itu.

Hal inilah juga yang membezakan antara ajaran sesat dan daie sejati. Ajaran sesat ada pengikut. Orientalis kerap mengguna istilah 'followers' ketika mereka merujuk kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Walhal, ayat yang tepat bukanlah 'Mohammedan followers' (pengikut Muhammad), tetapi 'Mohammedan companions' (sahabat Muhammad). Wallahu'alam. Ini sekadar iklan selingan sahaja.

Syahadan, Dato' Mukhriz Mahathir lewat Facebooknya sendiri sempat juga mencelah antara puluhan komen, "Bukankah Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) berada di bawah Selangor?" Barangkali, dalam andaiannya, tangkapan ke atas Dr Maza itu mungkin direstui pemerintah Selangor; PKR?

Benar, hal ini juga yang menghairankan kita semua. Setiap tangkapan yang bermotifkan politik, (contoh tersohor ISA) sememangnya tidak masuk akal. Tidak akan ada sebarang jawapan yang memuaskan. Kalau ada pun jawapan, sentiasa ada ruang untuk ditanyakan kembali kerana jawapan yang diberikan itu sememangnya lemah.

Menjawab soalan anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di Facebook, kita boleh teliti semula pendirian Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang meminta Jais sendiri memberikan jawapan terhadap penahanan Dr Maza itu.

Isu tauliah

Dr Maza bukannya baru membuka kuliahnya di kawasan yang terkenal dengan panggilan Ukay. Sudah lama kuliahnya beroperasi di situ. Kalau tidak salah, sudah pun ada jadual-jadual kuliahnya di sekitar Lembah Kelang termasuk Ukay. Soalan pertama, kenapa baru sekarang timbul isu tauliah?

Kuliah Dr Maza turut dihadiri Adun Hulu Klang Saari Sungib dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin. Baik Saari, Zuraida dan Khalid Ibrahim kesemua mereka adalah anggota pimpinan Pakatan Rakyat. Sudah tentu Saari dan Zuraida mengetahui perjalanan kuliah itu sejak beberapa lama. Oleh sebab mereka berdekatan, maka tentulah mereka mudah menghadiri kuliah tersebut.

Jika Saari dan Zuraida mengetahui kehadiran Dr Maza, secara logiknya, Khalid Ibrahim tentu tahu sedikit sebanyak mengenai kehadiran Dr Maza itu. Khalid tidaklah punya masa untuk mendengar kuliah kerana rumahnya di Shah Alam barangkali, terlalu jauh dan tentu saja ada undangan lain yang menyebabkan beliau tidak pergi mendengar kuliah itu. Lagi pun, mendengar kuliah itu perkara 'sunat', dibuat dapat pahala, ditinggalkan tiada berdosa apa-apa.

Khalid tidak mendengar ceramah, tetapi beliau tidak menyekat kuliah Dr Maza. Itu sudah cukup baik. Yang menjadi masalah ialah, menyekat dakwah, seruan ke arah kebaikan. Tindakan menyekat dakwah itulah yang sepatutnya dijauhi kerana hal tersebut ada dirakam di dalam al-Qur'an.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. (Al-Baqarah: 114)

Apabila Khalid Ibrahim tidak tahu-menahu hal penangkapan Dr Maza ini, kita tentu teringat kes Memali yang mana kematian Syuhada' Memali itu pun tidak diketahui Sultan Kedah. pabila Sultan Kedah sendiri menjirus air mawar dan mengunjungi pusara syuhada Memali, hal itu telah menolak sangkaan dan dakwaan bahawa mereka itu adalah penderhaka atau bughah.

Barangkali, musim ini adalah musim Umno menaja kempen membasmi ajaran sesat sehinggakan kes pembunuhan di Memali itu pun cuba dikaitkan dengan ajaran sesat. Satu 'keberuntungan' juga apabila kes 'Rasul Melayu' ini hadir di celah-celah kemelut ini. Selepas bom pertama dilempar ke atas Rasul Melayu, mungkin bom C4 akan diledakkan ke atas isu Memali sebagai ajaran sesat guna meranapkan imej Pas sekali gus Pakatan Rakyat. Mungkinkah itu yang berlaku ke atas Kosmo! baru-baru ini?

Asy-Syahid Ibrahim Libya dan isu Memali timbul seiring dengan isu-isu tauliah yang digemakan Umno sekitar awal-awal 1980-an. Isu tauliah ini cukup popular ketika media yang dikawal Umno sering memutarkan Amanat Haji Hadi dengan gemaan slogan politik suku, agama suku di tetuang udara, radio dan televisyen.

Umno telah menggunakan isu tauliah guna menyekat kemaraan pidato Pas yang cukup bingit dan garang sekali pada zaman-zaman itu. Zaman berdarah di Memali serta Amanat Haji Hadi itu membuatkan segala kaset, buku dan risalah 'booklet' yang ditulis mengenainya memang laris dijual. Rakyat benar-benar dahagakan maklumat.

Isu tauliah berganti isu permit polis dan kisah kehebatan Dato' Nakhaie

Isu tauliah memang cukup panas saat itu apabila agamawan-agamawan daripada pembangkang mula berceramah. Perlahan-lahan, isu tauliah tenggelam, bagaikan batu besar yang dilontar jauh ke dasar laut yang paling dalam, lalu diganti dengan isu permit polis untuk membuat perhimpunan. Kini, isu permit polis pula yang berbaris di dada akhbar.

Kini isu tauliah kembali bergema semula. Kepada anak muda yang sukar hadam sejarah, belum meratah peristiwa Amanat Haji Hadi dan Memali, memang sukar melihat semua ini dengan jelas. Cerita-cerita mengenainya menjadi samar-samar sahaja.

Mengulas isu Memali ini, ramai juga tokoh veteran Abim dan Pas merawikan kisah lalu, "Ustaz Nakhaie dulu, bila berceramah mengenai tragedi Memali, ana menangis sebak, kita semua pun menjadi pilu bila mendengar pidatonya dalam keadaan sebak ... Ustaz Nakhaie ini memanglah tinggi ilmunya, luas pengetahuan dan dalam benar pengertiannya terhadap fiqh agama ..."

Dan banyak lagi testimonial mereka terhadap sosok Ustaz Nakhaie ini. Rasa kagum mereka ternyata masih mengembang saat mengenangkan nostalgia pada masa silam.

Lalu, kita pun tercari-cari juga di manakah letak duduk tulisan YDP Yadim ini. Ya, memang benar. Saya sebagai pencinta puisi, penggemar ayat-ayat retorik, terpegun sejenak menatap keindahan bait-bait yang tersusun di setiap rangkap puisinya itu. Hayati puisi tanpa judul di pautan url http://www.yadim.com.my/ydp/ydp.asp

Serangkai mutiara madah pujangga
dalam sejambak bunga bahasa,
tersusunan indah warna dalam lukisan makna
tidak terungkap hikmah kebesaran Ilahi
yang terpancar dari rahsia ciptaan langit dan bumi
yang terserlah dalam rangkap-rangkap suci Qurani,
Hikmah manusiawi yang kita miliki
hanya seceduk air dari lautan tidak bertepi
sejauh mana pun rasional insani berpesta dalam diri
hanya sekadar kerdip lilin menerangi malam sepi
Bila manusia merasa dirinya secerah mentari
menerangi buana kehidupan duniawi tanpa misteri
rahsia segalanya terbongkar tanpa petunjuk Ilahi
kerana manusia punya sakti dan upaya diri
Tika rasional berbicara dalam khayalan
mampu ukir wajah real dalam kejadian
di alam maya berkeliaran pesan memesan
teknologi canggih menghubung dunia tanpa sempadan
syaitan terlepas dari ikatan dan maksiat berkeliaran
lalu bumi mengaduh kesakitan
dan bencana mengaung meluah kemurkaan
kerana perlakuan manusia menginkari Tuhan
dan asyik berpesta dalam mabuk kekuasaan
amanah diketepikan, kebijaksannan dihumban
hanya kepentingan sendiri jadi keutamaan
ke mana kita di masa hadapan
dan kiamat hanya sepekan lagi akan memuntah kemusnahan.

Kalau betul ini memang puisi beliau, salut kepada Dato' Nakhaie. Jika bukan, kita minta maaf banyak-banyak kerana kurang usul dan kurang periksa. Kita bukan mahu merumitkan keadaan dan mencipta permusuhan demi permusuhan. Kita cuma mahu memperbetul keadaan sahaja.

Kita sebutkan bahawa puisi di atas adalah puisu beliau kerana ada petikan tulisan beliau seperti di bawah ini:-

"Perjuangan untuk mempertahankan Islam itu memang tidak akan terhenti walau bagaimana sekalipun situasi yang dihadapi. Justeru, ungkapan puisi ini adalah untuk mengingatkan para pejuang kebenaran dan keadilan serta para da’i yang semakin berkurangan dan suara mereka makin sepi dalam hiruk pikuk manusia mencari kepuasan diri dan mabuk kekuasaan tanpa menghiraukan amanah dan kewajipan."

Jadi, barangkali, puisi di atas berkemungkinan besar adalah milik ciptaan beliau sendiri. Kita betul-betul rasa kagum akan hal ini, apatah lagi ketika menatap ayat ini, "dan kiamat hanya sepekan lagi akan memuntah kemusnahan."

Dr Maza juga berpuisi dan ada juga lagu-lagu puisi beliau yang diharamkan RTM. Hal itu pernah tersiar juga dalam Melodi TV3, tapi kita lupa tarikhnya. Maka, sama hebat jugalah kedua-dua tokoh ini.

Salafi, Wahabi atau pergeseran politik?

Mutakhir ini, ramai juga orang cenderung melihat hal penangkapan Dr Maza ini dengan isu Wahabi, Salafi. Apabila timbul isu begini, ada pula orang yang cenderung mengaitkan penahanan ISA ke atas pemimpin Al-Arqam dahulu, Ashaari Muhammad atas alasan kepercayaannya yang berkiblat kepada Syiah Imam 12. Syiah, Wahabi di negara ini, babak sengketa antara kedua-dua mazhab ini, mungkin mirip kepada sengketa antara Kaum Muda dan Kaum Tua pada zaman dahulu agaknya.

Semoga salahlah hendaknya andaian ini. Lagi pun, bukannya isu sengketa Syiah dan Wahabi ini yang kita mahu dengungkan di sini. Adapun tujuan kita menulis di sini, ialah kerana kita mahu bertanya sahaja - adakah penangkapan Dr Maza baru-baru ini, khasnya berhubung memorandum PGSM kepada Yang Dipertuan Agong itu, ada kaitan dengan masalah iktikad, kepercayaan Dr Maza atau disebabkan oleh perbezaan khilaf politik dan sengketa untuk merebut kedudukan dalam Yadim?

Kita tanya saja. Perlembagaan dan perundangan negara tidak menyatakan bahawa bertanya itu suatu dosa dan kesalahan. Orang yang bertanya bukan penjenayah.

Alkisahnya, dalam sidang media baru-baru ini, Dr Maza telah menjelaskan hal tawaran Perdana Menteri untuk mengisi jawatan penting dan tinggi di Yadim. Lalu, pada akhir sidang media itu, Dr Maza menembak dua butir peluru pertanyaan kepada Dato' Nakhaie. Pertama, kalau beliau (Dr Maza) tidak digemari Pas dan Umno, adakah YDP Yadim sekarang disukai Pas dengan kekalahan tokoh agamawan itu di Baling? Peluru kedua, Dr Maza meminta supaya Yadim diauditkan juga.

"Saya tanya ini, jika benarlah kriteria ini yang digunakan untuk mengisi jawatan itu," kata Dr Maza dengan sindiran halusnya. Sekali lagi, kita perlu berwaspada dan cermat meneliti juga terhadap perang-perang sengketa antara kedua-dua tokoh agamawan yang dihormati dalam bidang keilmuan masing-masing ini. Perjalanan masih jauh, tetapi sengketa antara agamawan telah banyak merencatkan perjalanan jauh beribu liku ini.

Adakah benar, perang ini bermuara daripada faham dan iktikad kepercayaan atau cuma sekadar pergeseran politik? Sekali lagi, kita bertanya sahaja dan kita harap, semua orang akan selalu bertanya begitu sebelum menyumbatkan dalam tempurung kepala dengan andaian yang bukan-bukan.

Bukannya tak tahu, sudah heboh di warung-warung dewan rakyat, telah bertepuk meja dan bersorak orang kita di parlimen kedai kopi mutakhir ini dengan pertikaian, sarat dengan muatan sengketa rantingan mengenai status syiah dan wahabi, kaum muda dan kaum tua. Di Facebook, telah pun berjela-jela komentar ringkas, adakah wahabi ini begini, begini dan adakah syiah itu begitu, begitu? Tiada pula kita dengar, adakah ini berpunca daripada dendam lama yang belum terlaksana?

Adakah ini semua bermuara daripada politik dan bukan pergeseran mazhab agama? Asal-usul tumbuh pergeseran agama sehingga muncul mazhab syiah itu bukankah ia berawal daripada khilaf politik antara Syiah Ali dan Syiah Muawiyah? Sekali lagi ini telahan yang mungkin salah dan pertanyaan juga. Bertanya bukan suatu dosa.

Kita pun bukannya mahu hidup untuk merebakkan wabak persengketaan sesama Muslim. Bukan sedikit ribut kekesalan yang kian menerpa dalam diri, dan tidak sedikit taufan keresahan yang melanda kita semua dengan kejadian yang membingungkan ini. Orang bawahan hanya terdaya membungkus kerisauannya di dalam dada.

Dan kita, hanya mampu membuang kekhuatiran yang bersarang di kepala dengan usaha menulis seperti ini. Kalau ada pihak yang mahu marah, biarlah. Kita cuma tanya saja. Kita puas hati mengutuk Najib Razak atas isu Altantuya saja. Kalau menulis isu lain dengan garang menyerang agamawan, kita pun tidak sampai hatilah juga.

Agamawan politikus (atau agamawan yang jiwa politiknya lebih menyerlah daripada jiwa dakwah) perlu merenung panjang, apakah mereka mahu sekat seruan dakwah sesama mereka atas alasan tauliah itu? Bersamalah kita merenung kembali firman dalam surah al-Baqarah ayat 114 itu.

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?" ...

"Perlukah tauliah untuk mengajar agama Allah?" Badi'uzzaman Said Nursi pernah bertanya kepada para pegawai Mustafa Kamal At-Taturk yang cuba menghalangnya daripada terus menyebarkan ajaran Islam di Turki. Said Nursi yang terkenal dengan Risalah I-Nur itu akhirnya terhumban ke penjara, hidup terseksa dengan sebab kekejaman pemimpin pertama Republik Turki itu.

Arakian, merenung kembali bait-bait terakhir dalam puisi YDP Yadim itu, menerawang pula rasa kekhuatiran yang membalut jiwa ...

Tika rasional berbicara dalam khayalan
mampu ukir wajah real dalam kejadian
di alam maya berkeliaran pesan memesan
teknologi canggih menghubung dunia tanpa sempadan
syaitan terlepas dari ikatan dan maksiat berkeliaran
lalu bumi mengaduh kesakitan
dan bencana mengaung meluah kemurkaan
kerana perlakuan manusia menginkari Tuhan
dan asyik berpesta dalam mabuk kekuasaan
amanah diketepikan, kebijaksanaan dihumban
hanya kepentingan sendiri jadi keutamaan
ke mana kita di masa hadapan
dan kiamat hanya sepekan lagi akan memuntah kemusnahan.

Meneliti baris terakhir bait puisi ini, suatu pertanyaan menendang-nendang dalam kepala, apakah kini telah hampir tiba saatnya yang disifatkan sebagai, "dan kiamat hanya sepekan lagi akan memuntah kemusnahan."

Tiada ulasan: