Khamis, 12 November 2009

Penyelidik USM cipta peranti kilat murah

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta varistor yang lebih murah berbanding harga pasaran dan berupaya menyerap kuasa elektrik setaraf dengan varistor yang dikeluarkan oleh syarikat bertaraf antarabangsa.

Varistor ialah peranti semikonduktor yang melindungi peralatan elektrik daripada kuasa elektrik berlebihan seperti kilat.

Pensyarah Kanan Makmal Penyelidikan Nano Optoelektronik, Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Dr Shahrom Mahmud, berkata varistor berkuasa tinggi ciptaannya, yang dikenali sebagai Varistor Berprestasi Tinggi (HP Varistor) itu menggunakan 90 peratus bahan mentah yang diperoleh di Malaysia.

Selepas melakukan kajian lebih tujuh tahun, HP Varistor terbukti lebih hebat daripada piawaian antarabangsa. Ciptaan itu menerima pingat emas di Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Antarabangsa 2009 (Pencipta 2009).

Pada sidang media di USM, di sini, semalam, Shahrom yang berkecimpung dalam kajian varistor sejak 16 tahun lalu berkata, kandungan utama HP Varistor terdiri daripada zink oksida yang boleh dihasilkan dengan kawalan pada tahap nano.

Produknya dicipta dengan kos kira-kira RM10,000, kini masih dalam proses dipatenkan dan beliau mengalu-alukan mana-mana pihak industri yang berminat untuk mengkomersialkannya.

Belia berkata, varistor di pasaran ketika ini dijual pada harga RM1.26 sen seunit berbanding HP Varistor yang boleh dijual pada harga kurang 70 sen seunit.

Shaharom berkata, secara purata Malaysia mengalami kilat kira-kira 280 hari dalam setahun, manakala di Pulau Pinang 300 hari, iaitu negara kedua tertinggi di dunia.

Justeru, Malaysia dianggarkan memerlukan lebih 20 juta varistor setahun untuk menangani pusuan kuasa elektrik tinggi akibat kilat.

Tiada ulasan: