Selasa, 17 November 2009

Pengikut Asri berkumpul esok

Abdul Rahim Sabri


Sekumpulan pengikut Dr Mohd Asri Zainul Abidin termasuk mereka yang sering mengikuti kuliah mantan mufti Perlis itu akan hadir menyatakan sokongan di mahkamah syariah di Gombak, esok.

Kira-kira 40 penyokongnya itu akan bertolak 10 malam ini dengan sebuah bas dari Perlis dan Pulau Pinang, kata satu sumber yang dekat dengan mereka.

"Kawan-kawan kalau susah kita kena tolong. Kita kena bagi beliau semangat," katanya, yang enggan dikenali, kepada Malaysiakini petang ini.

Penceramah popular itu bakal didakwa bawah Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 kerana mengajar agama tanpa tauliah rasmi daripada jabatan agama negeri.

Bagaimanapun, sumber itu menjangkakan lebih ramai penyokongnya – khususnya dari Selangor dan Kuala Lumpur – akan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjelang pertuduhan jam 9 pagi.

Dr Mohd Asri, yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), sering diundang menyampaikan kuliah di beberapa buah masjid di Perlis, selain masih mengajar di Institut Al-Qayyim, Bukit Mertajam yang diasaskannya.

Beliau ditangkap sewaktu menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Hulu Kelang pada 1 November lalu – sehingga mencetuskan kontroversi berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu.

Jika disabitkan kesalahan, bekas mufti muda itu boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

1 ulasan:

naKHoda berkata...

perlu ker nk berkumpul nie .. last time masa issue lina joy .. lg besar nyer kes perlu dpt perhatian masyarakat islam .. ada org2 islam siap2 sewa bas nk turun... anyway nk berkumpul ..berkumpul lah ..jgn buat benda2 yg x senonoh sudah .. masyarakat islam kt msia dh ckup tercemar dh ngan isu2 yg x berfaedah nie ..so sudah2 laa ...