Selasa, 17 November 2009

Pengarah MSD tidak profesional: Nasrudin

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tindakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim membatalkan Program Pembacaan Hadis Bukhari yang dianjurkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) adalah tidak profesional.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, program tersebut yang sepatutnya berlangsung di Al-Azhar Conference Center (ACC) pada 16 hingga 19 Oktober lepas dibatalkan oleh pihak MSD pada saat akhir dengan alasan PMRAM 'ejen parti pembangkang Malaysia'.

"Saya juga melihat MSD mempunyai agenda tertentu sekali gus berniat jahat terhadap PMRAM dengan tindakan mereka mengganggu urusan dan aktiviti mahasiswa.

"Apa hak mereka untuk menggangg:u aktiviti PMRAM sedang PMRAM adalah sebuah badan kebajikan yang sah malah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir. PMRAM juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pihak kerajaan Mesir, pengurusan universiti al-Azhar dan pihak keamanan Mesir," katanya.

:Nasrudin berkata, tiada alasan munasabah mengapa MSD mesti bertindak membatalkan Program Pembacaan Hadis Imam Bukhari yang akan berakhir dengan anugerah Ijazah Sanad Hadis oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumuah sebagaimana dijadualkan.

Menurutnya, tindakan 'kurang ajar' dan di luar bidang kuasa mereka itu menyebabkan Program Pembacaan Hadis Imam Bukhari ini terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah negeri Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta sahaja.

"Menuduh PMRAM sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi mengganggu emosi mahasiswa yang menuntut di Mesir. Mereka ke Mesir untuk menuntut ilmu bukan untuk melibatkan diri dengan politik kepartian. Ia sesuai dengan dasar kerajaan agar pelajar tidak terlibat dengan politik kepartian apalagi dituduh sebagi ejen pembangkang," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, mahasiswa al-Azhar menubuhkan satu jawatankuasa khas menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM yang dicemarkan mereka.

Tiada ulasan: