Jumaat, 20 November 2009

Penculik Siti Nurdiana sembunyi dalam masjid



UTUSAN ONLINE

SHAH ALAM - Tidak sampai 16 jam Siti Nurdiana Aung Seo, 2, kanak-kanak yang dilarikan pembantu rumah ditemui, polis berjaya memberkas penculik tersebut yang bersembunyi di Masjid Pakistan, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Suparmi (gambar), 50, pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai bersembunyi di masjid itu sejak semalam diberkas hasil maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaluddin berkata, ketika diberkas, wanita warga Indonesia itu berseorangan dalam masjid.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wanita yang berasal dari Medan, Indonesia ini merancang untuk menyeludup keluar dari negara ini selepas mengetahui anak majikannya berjaya ditemui pihak polis.

''Suspek yang ditahan oleh polis Daerah Dang Wangi kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Shah Alam di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut,'' kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Kelmarin, Siti Nurdiana dilarikan Suparmi ketika ibu bapanya, Aung Soe atau Abu Hussin, 38, dan Haslinda Damanik, 35, keluar bekerja.

Kejadian hanya disedari pasangan tukang masak itu ketika mereka pulang ke rumah kira-kira pukul 7.30 petang dan mereka terus membuat laporan polis serta meminta bantuan siaran akhbar.

Kira-kira 24 jam selepas itu, Siti Nurdiana berjaya ditemui selepas seorang pekerja kedai makan yang terbaca kisah penculikan kanak-kanak itu di akhbar membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Subang Jaya semalam.

Sementara itu, menurut Nor Azam, suspek yang ditahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menculik akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Ujar beliau, wanita itu juga akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Tambah beliau, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk media yang membantu pihak polis sehingga kes culik ini berjaya diselesaikan dan mangsanya berjaya ditemui dengan selamat.

Tiada ulasan: