Khamis, 19 November 2009

Pencapaian UPSR 2009 meningkat

BERNAMA


Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki UPSR bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini.

"Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus.

"Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan.

"Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas," katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506,620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

Tiada ulasan: