Isnin, 9 November 2009

Pemuda PAS mahu temui lagi Aziz Bari

Abdul Rahim Sabri


Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) akan mengadakan pertemuan lanjut dengan dua ahli akademik - Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah - bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai kertas kerja yang mereka bentangkan dalam seminar politik PAS Sabtu lalu.

Di sampung itu, Ketunya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan seorang lagi ahli akademik - Prof Dr Agus Yusof - Rabu ini bagi tujuan yang sama.

Katanya, surat mengenai pertemuan tersebut akan dihantar kepada Dr Abdul Aziz di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Dr Abu Hassan di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Nasrudin berkata, perjumpaan ahli-ahli akademik akan membolehkan Pemuda PAS mendapatkan pandangan lanjut mengenai perkembangan politik semasa yang membabitkan parti.

"Mungkin beliau (Dr Abu Hassan) ada alasan dan pandangan tertentu untuk (pertimbangan) Pemuda PAS.

"Manakala mengenai kritik keras Dr Abdul Aziz terhadap PAS, saya telahpun bertemu dengan beliau mendapatkan penjelasan lanjut.

"Kita senentiasa bersikap terbuka walaupun kritikan itu tegas dan mengecilkan hati. Kita bersedia mendengar pandangan beliau, kalau ada lagi pandangan khusus mengenai PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nasrudin berkata, pihaknya merancang mengenai Dr Abdul Aziz dan Dr Abu Hassan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.

Dalam seminar khas memperkasakan parti itu yang berlangsung Sabtu lalu, beberapa pemimpin PAS dan peserta tidak berpuas hati dengan kenyataan Abdul Aziz yang mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.

Kenyataan-kenyataan keras beliau itu dimuatkan di dalam akhbar Sinar Harian dan wawancara dengan Malaysiakini bersama tokoh akademik itu, Jumaat lalu - sehari sebelum seminar itu bermula.

Malah terdapat daripada peserta menggesa agar Abdul Aziz memohon maaf kepada Abdul Hadi kerana didakwa merendah-rendahkan Abdul Hadi yang dianggap sebagai ulama.

Manakala Dr Abu Hassan pula dilapor mempertahankan kenyataan Abdul Aziz dan mengakui analisis Dr Abdul Aziz itu selari dengan tinjauannya mengenai kepercayaan politik, termasuk terhadap PAS.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kekecewaannya terhadap sikap beberapa peserta melepaskan geram kepada pembentang, dan meminta semua peserta bersikap terbuka terhadap tanggapan yang dilontarkan.

Tiada ulasan: