Sabtu, 14 November 2009

"Pemimpin MCA ada masalah kewibawaan" - Ong Ka Chuan

Azamin Amin



KUALA LUMPUR : Kemelut dan krisis berpanjangan dalam MCA adalah dilihat sebagai gambaran kelemahan pemimpinnya dalam menangani masalah sedia ada.

Apatah lagi tentang kewujudan dua Timbalan Presiden MCA setelah keputusan EGM tempoh hari tidak 'dipatuhi' sepenunhnya menyebabkan situasi gawat terus melanda parti komponen Barisan Nsional (BN) itu.

Demikian kenyataan yang dinyatakan sendiri oleh Pengerusi MCA bahagian Tapah Dato' Seri Ong Ka Chuan dalam sidang medianya di lobi Parlimen sebentar tadi.

"Presiden MCA tidak memaklumkan adanya rundingan dengan Timbalan Presiden Dato' Seri Chua Soi Lek sehingga wujudnya pelantikan timbalan baru iaitu Dato' Seri Liow Tiong Lai.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku dan dengan adanya dua timbalan membuktikan, punca kemelut semakin rumit adalah disebabkan oleh Presiden itu sendiri," katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa dengan memanggil Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk campur tangan dan menentukan keabsahan kedua-dua jawatan tersebut memperlihatkan lagi kelemahan MCA selama ini.

"Dengan memanggil ROS, menunjukkan parti sudah hilang kredibiliti dan tidak boleh selesaikan sendiri masalah dalaman parti," katanya yang merupakan bekas Setiausaha Agung MCA.

Semalam Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan bahawa desakannya supaya satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang baru pada 28 November depan bukanlah kerana berkehendakkan jawatan.

Beliau berkata EGM yang dicadangkan itu bertujuan memastikan parti dapat memulihkan semula kredibiliti dan maruah bagi membolehkan MCA terus mendapat sokongan daripada masyarakat Cina serta orang ramai.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya bukannya mengejar manamana kedudukan. Jawatan tidak penting bagi saya," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen di sini semalam.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, turut menegaskan EGM kedua pada 28 Nov ini, adalah sah mengikut perlembagaan parti mengikut Artikel 27 di mana EGM boleh diadakan bagi membincangkan apa-apa permasalahan parti.

Beliau juga menggesa agar pemimpin-pemimpin MCA pusat menghormati EGM yang akan diadakan itu kerana ia adalah satu-satunya cara terbaik untuk menyelesaikan masalah dalaman parti.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata isu untuk memanggil semula EGM baru adalah sah mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dirujuk kepada pakar undang-undang.

"Kita juga mengingatkan Presiden bahawa tiada siapa yang berkuasa ke atas EGM yang dipanggil dan telah memenuhi syarat mengikut peruntukan 30.1, 30.2 dan 30.3," katanya.

Tiada ulasan: