Khamis, 5 November 2009

Pemilihan baru jalan penyelesaian krisis MCA

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Krisis MCA yang semakin kusut selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden, hanya boleh diselesaikan melalui pemilihan baru barisan kepemimpinannya.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari, berkata kedudukan dalam mana-mana parti, termasuklah jawatan tertinggi hanya boleh ditentukan oleh ahli parti itu dan bukannya ROS.

Beliau berkata, MCA mempunyai perlembagaan partinya yang tersendiri dan semua pihak perlu akur dengan amalan dan sistem yang diamalkan sebelum ini.

“Sebaiknya ROS tidak diheret sama dalam kemelut yang sedang dialami MCA. Perkara ini hanya boleh diselesaikan oleh ahli MCA sendiri dan bukan dengan campur tangan pihak lain. Keputusan dibuat ROS dengan mengesahkan Datuk Seri Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden hanya memburukkan lagi keadaan.

“Sekarang ini MCA mempunyai dua timbalan presiden dan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipilih oleh Jawatankuasa Kerja (CC) sudah menyatakan kesediaannya untuk mencabar keputusan ROS.

“Semua ini tidak membantu, dan cara terbaik ialah melalui pemilihan semula,” katanya.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan ketika dihubungi pula berkata, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempunyai hak mutlak untuk memperjuangkan kedudukannya dengan mencabar keputusan ROS.

“Memang jika kita teliti Seksyen 18 Akta Pendaftar Pertubuhan itu sendiri, tidak ada tertera secara nyata mengenai hak mereka (ROS) untuk membuat atau menentukan barisan kepemimpinan mana-mana pertubuhan atau parti.

“Jadi, pengumuman ROS itu mempunyai isu tersendiri dan secara asasnya Datuk Seri Liow mempunyai hak mencabar keputusan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Rohimi Shapiee, berkata keputusan dibuat ROS mesti berdasarkan penilaian dan tafsiran bidang kuasa mereka.

Beliau bagaimanapun bersetuju kemelut dalaman MCA itu hanya boleh diselesaikan melalui pemilihan semula.

Tiada ulasan: