Ahad, 29 November 2009

Peguam Negara Janji Bantu Selesaikan Kes Ferris Mokhtar

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan membantu Elis Syuhaila Mokhtar, 34, mendapatkan semula anaknya, Ferris Mokhtar Van De Ven, 5, yang dilarikan bekas suami ke Belgium menerusi bantuan Pejabat Peguam Negara.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dihubungi beliau pagi tadi berjanji untuk membantu menyelesaikan perkara itu.

"Isu ini melibatkan perundangan kedua-dua negara, memang ada perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah, tapi anak itu telah dilarikan.

"Saya minta peguam negara membantu keluarga Elis mengikut perundangan agar anak itu dapat dikembalikan mengikut perintah Mahkamah Tinggi Syariah dan saya berjanji akan menyemak kes ini dari masa ke masa," katanya kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Wanita Umno Bahagian Kepong, di sini hari ini. Pada 10 Nov lepas, Mahkamah Tinggi Syariah telah memberikan hak penjagaan anak kepada Elis, namun keputusan itu tidak membawa apaapa makna bagi beliau kerana anaknya itu telah dilarikan bekas suaminya Frank Theodorus Van De Ven @ Firdaus, 40, seorang warga negara Belanda ke Belgium melalui Rantau Panjang, Kelantan 5 Mac lepas.

Sebelum itu, pada 8 September lalu, Firdaus telah menghubungi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO di Kuala Lumpur dan memberitahu beliau tidak akan menyerahkan Ferris serta mengesahkan anak itu ada bersamanya di Belgium.

Tiada ulasan: