Selasa, 10 November 2009

Pegawai SPRM temui menantu Nik Aziz

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menemui Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan yang dikatakan berlaku dalam perbadanan tersebut.

Ini merupakan kali kedua SPRM mengunjungi pejabat perbadanan tersebut dalam tempoh tidak sampai dua minggu selepas mengambil beberapa dokumen pada Khamis lalu.

Mohd. Ariff Fahmi yang juga menantu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima kunjungan empat pegawai suruhanjaya tersebut tetapi lebih kepada 'berborak biasa'.

''Empat pegawai SPRM datang ke pejabat saya kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Saya tidak tahu apa motif sebenar kunjungan mereka kerana tujuannya tidak dimaklumkan.

''Mereka tidak mengambil sebarang dokumen. Kami hanya berborak biasa. Saya bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dengan SPRM bagi menjalankan siasatan ini," katanya.

Khamis lalu, enam pegawai SPRM dilaporkan menyerbu pejabat perbadanan tersebut yang terletak di Jalan Kuala Krai.

Ini merupakan kali kedua perbadanan itu disiasat oleh SPRM. Kali pertama ialah pada Ogos tahun lalu selepas SPRM menerima surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai peranan begitu besar.

Bagaimanapun, SPRM menutup kertas siasatan tersebut beberapa bulan kemudian apabila mendapati tiada sebarang unsur rasuah dalam dakwaan itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan yang kononnya serbuan itu dilakukan kerana ada pihak dalaman dan bloger yang membuat laporan, Mohd. Ariff Fahmi berkata, beliau tidak ingin menuduh sesiapa selagi tidak ada bukti.

''Kalau nak kata sumber dalaman PMBK, siapa orangnya? Bagi saya kalau ada yang tak puas hati lebih baik mereka tampil ke depan dan jelaskan apa yang berlaku. Bukannya dengan bertindak seperti ini.

''Ia mungkin hanya masalah dalaman. Sebab itulah saya berharap pihak berkenaan tampil. Boleh kita berbincang. Kalau dia buat laporan SPRM pun tidak ada guna sebab saya tidak bersalah," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Mohd. Jaafar Hussen ketika dihubungi mengesahkan beberapa pegawainya menemui Mohd. Ariff Fahmi.

Mohd, Jaafar bagaimanapun enggan mengulas sama ada pegawainya merekod kenyataan atau pun tidak.

Tiada ulasan: