Ahad, 1 November 2009

Pasukan F1 Malaysia diuji Februari 2010

SINAR HARIAN ONLINE


SEPANG - Persediaan pasukan F1 Malaysia untuk menyertai perlumbaan berprestij dunia itu berjalan lancar, dan jentera pertama Malaysia ke perlumbaan tersebut dijadualkan menjalani ujian pra musim di Litar Antarabangsa Sepang, Februari tahun depan.

Ketua pasukan Datuk Seri Tony Fernandes berkata, model pertama yang dibangunkan di Norfolk, England, itu dibangunkan tiga hari lebih awal dari jadual dan ia akan menjalani ujian terowong angin.

“Kami sudah pasangkan enjin, kotak gear, dan jalani ujian hentaman. Jentera itu akan berada di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan Februari untuk ujian pra musim dan akan menyertai perlumbaan di Bahrain,” katanya.

Pasukan tersebut baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Bridgestone, pembekal rasmi tayar F1, yang akan membekalkan tayar Potenza kepada semua pasukan yang menyertai kejohanan 2010.

Fernandes berkata, nama rasmi pasukan itu ialah Lotus F1 Racing sebagaimana yang ditauliahkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) September lalu.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Riad Asmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia F1 Team Sdn Bhd (1MF1T).

Riad, 38, sebelum ini bertugas di pejabat pengarah urusan Proton Holdings Berhad.

1MF1T akan memiliki pejabat sendiri berhampiran laluan masuk utama Litar Antarabangsa Sepang yang menjadi tuan rumah F1 Grand Prix Malaysia.

Pasukan itu akan berpindah dari pangkalan semasa di Norfolk, yang ketika ini adalah pangkalan syarikat Lotus Cars yang dimiliki Malaysia, sebaik sahaja ibupejabatnya di sini siap dibina.

Tiada ulasan: