Khamis, 26 November 2009

Pas yakin ada pilihan raya kecil

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar dan Haspaizi Mohd Zain


KUALA LUMPUR: Pas yakin pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh akan tetap diadakan walaupun Mahkamah Rayuan kelmarin menangguhkan sementara keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi kawasan berkenaan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata Pas pusat menyerahkan kepada Pas Kedah untuk memilih dan menghantar senarai pendek bakal calon yang dicadangkan bagi bertanding di DUN berkenaan.

“Pas mengadakan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil kerana yakin ia akan diadakan. Keputusan mahkamah semalam bersifat sementara.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memohon penangguhan itu bagi mengelak pilihan raya diadakan kerana dikatakan membazirkan wang rakyat tidak perlu dibangkitkan. Sudah berapa banyak pilihan raya kecil diadakan sebelum ini tidak menimbulkan sebarang masalah pun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ditanya apakah Pas sudah mempunyai senarai calon jika berlaku pilihan raya kecil itu, beliau berkata masa masih panjang lagi dan yakin dapat menamakan calon terbaik bagi mencabar calon Barisan Nasional (BN).

Di ALOR SETAR, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, berkata keputusan mahkamah ada rasionalnya dan dibuat dengan alasan munasabah.

“Jika Mahkamah Rayuan tidak menangguhkan sementara keputusan Mahkamah Tinggi ia akan menimbulkan beberapa masalah.

“Ketika ini SPR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif sedang memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan jika diadakan juga pilihan raya di kawasan itu, jadi apa ertinya rayuan berkenaan.

“Selain itu, jika pilihan raya diadakan juga serta calon lain bertanding dan menang, akan ada dua wakil rakyat di kawasan berkenaan dan ini penganiayaan kepada Abu Hassan, ” katanya di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Tiada ulasan: