Selasa, 10 November 2009

Parti-parti Komponen BN Terutamanya Gerakan Kena Bangun Segera

Oleh : B. ANBUMANI (mediagemilang@yahoo.com)


PERDANA MENTERI, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) telah memberikan amaran yang cukup keras kepada semua parti komponen BN.

Nampaknya beliau juga sudah tidak tahan dengan tindak-tanduk segelintir parti komponen BN. Ini jelas terbayang pada komennya yang cukup lantang - berubah atau rebah.

Komen pertamanya berbunyi - “ Gerakan , MCA, MIC dan PPP semua kena bergerak , kalau ada masalah dalaman tu cepat–cepatlah selesaikan, tunggu apa lagi, selesaikan masalah. Percayalah kita berada pada landasan yang jelas, prinsip kita adalah jelas, suara rakyat adalah suara keramat dan BN akan abadikan diri untuk rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional 2009 Parti Gerakan minggu lepas.

Komen keduanya pula – “Jangan bergaduh. Kita (sekarang) sudah ada banyak masalah. Kita bincang lah(kalau ada masalah). Kita ni semua satu keluarga,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ke 24 Sabtu lepas.

Apakah parti–parti komponen BN mendengar teguran perdana menteri secara serius ataupun sekadar dengar telinga kiri dan keluar telinga kanan?

Jika BN hendak selamat, teguran dan nasihat perdana menteri perlu didengar, diterima dan dipraktikkan. Kemelut dalaman parti–parti komponen BN sudah mencapai tahap yang cukup merungsingkan sekiranya tidak dikawal dan tidak di selesaikan dengan segera.

Najib yang diibaratkan sebagai kapten pasukan BN sudah berkali–kali memberi amaran “tanda awal tsunami” akan menjelma sekiranya perangai, sikap dan tingkah laku sesetengah pemimpin BN tidak berubah.

Jangan mereka mudah lupa gelombang tsunami PRU yang ke-12. Rakyat pun sudah muak melihat perkembangan yang berlaku dalam politik tanah air. Sekiranya sebelum ini, PPP dibelenggu dengan fenomena dua presiden, kini MCA pula bergelut dengan masalah dua timbalan presiden.

Walaupun Pendaftar Pertubuhan(ROS) telah mengumumkan Datuk M. Kayveas sebagai Presiden PPP yang sah, tetapi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah pula masih berkeras tidak mahu mengaku kalah dan tidak mahu melepaskan jawatannya sebagai timbalan menteri.

Krisis MCA pula masih berada ditahap yang tidak menentu apabila Datuk Seri Liow Tong Lai kini muncul sebagai ‘kuasa ketiga’ dalam dilema kepimpinan parti itu yang sebelum ini hanya berkisar di antara Datuk Seri Ong Tee Keat dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Gerakan pula walaupun setakat ini tiada sebarang krisis kepimpinan tetapi masih tercari–cari peluang dan pendekatan terbaru untuk memenangi hati rakyat selepas rebah dan kehilangan kubu kuatnya iaitu Negeri Pulau Pinang pada PRU yang ke-12.

Sementara dalam MIC pula, walaupun sudah ada tanda–tanda kebangkitan semula sepertimana yang dapat kita lihat pada pilihan raya kecil Bagan Pinang tetapi sejauh mana masyarakat India menerima semula MIC masih lagi menjadi tanda tanya.

Ada pihak yang mencadangkan supaya Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai Presiden MIC perlu tampil untuk merencanakan satu pelan perpaduan demi MIC dan juga masa depan kaum India di negara ini yang kini dilihat sudah berpecah kepada beberapa kelompok.

Minggu ini, penulis bercadang menyentuh mengenai perkembangan parti Gerakan yang dilihat masih terkapai–kapai untuk mencari satu gerakan yang efektif bagi meneruskan hala tuju parti itu mahupun di peringkat akar umbi, bahagian, negeri dan juga nasional. Ada orang berkata secara sinis bahawa Gerakan masih mencari-cari “gerakannya”.

Hakikatnya ialah, selepas PRU yang ke-12, Gerakan semakin dilupakan. Lebih–lebih lagi setelah Gerakan dibersihkan oleh DAP di Pulau Pinang. Kehilangan kuasa di Pulau Pinang telah meletakkan Gerakan diambang kepupusan. Malah belum ternampak lagi tanda–tanda kebangkitan Gerakan di Pulau Pinang.

Apabila kita bercakap mengenai sejarah Gerakan yang sudah menjangkau 35 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1974, nama–nama seperti bekas Presiden Gerakan dan Ketua Menteri Pulau Pinang yang tersohor Tun Lim Chong Eu, salah seorang pengasas parti Gerakan Profesor Syed Hussain Alatas ,bekas Presiden Gerakan Tun Lim Keng Yik, bekas Timbalan Presiden Gerakan mendiang Tan Sri Alex Lee, bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Kerk Choo Ting, bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Dominic Puthucheary, bekas Timbalan Presiden Paul Leong, bekas Ketua Wanita Datuk Rina Bhar dan bekas Setiusaha Agung Gerakan yang kini menjadi salah seorang Naib Presiden Gerakan Datuk Seri Chia Kwang Chye merupakan antara nama-nama besar yang dilahirkan parti itu.

Tetapi sejak kebelakangan ini, nyawa parti Gerakan bagaikan sudah tenggelam dari arus politik perdana termasuk pemimpin-pemimpinya.Masa berjalan dengan pantas. Gerakan perlu melahirkan lebih ramai pemimpin yang berpontensi yang dapat menyahut cabaran yang kian mencabar ketika ini khususnya menghadapi cabaran PRU yang ke 13 nanti.

Walaupun hanya dapat merangkul satu kerusi parlimen pada PRU yang ke-12, Gerakan tetap diberikan tempat dalam kabinet iaitu satu jawatan menteri dan dua timbalan menteri.Pelantikan Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sebagai menteri adalah bagi menghargai peranan parti itu dan sebahagian daripada proses pemulihan parti berkenaan, kata perdana menteri.

Justeru itu, kita berharap Koh Tsu Koon yang kini dipertanggungjawabkan menjaga KPI Kementerian–Kementerian dapat menetapkan satu sasaran KPI untuk partinya dalam tempoh terdekat ini. Kita mengharapkan sesuatu yang lebih menarik dan menonjol dari beliau dan juga parti pimpinannya.

Kita tidak mahu Gerakan dilabelkan sebagai parti lesu dan hilang semangat perjuanganya. Buktikan kemampuan anda di medan politik . Tunjukkan parti masih relevan di hati rakyat. Jangan pula cepat melatah apabila kena kritik dan dibidas.

Segala kritikan yang dilemparkan perlu dijadikan sebagai satu tanda pemangkin untuk bangkit semula – melakar kejayaan.

Walaupun Gerakan dilihat sebagai sebuah parti berbilang bangsa tetapi majoriti ahlinya masih lagi dikalangan kaum cina. Gerakan boleh memainkan peranan yang penting bersama MCA sebagai satu pasukan yang kuat untuk mengembalikan sokongan dari masyarakat cina bagi menghadapi PRU yang ke-13 nanti.

Nampaknya konsep Satu Malaysia yang bermula dengan elemen perpaduan perlu disemai di kalangan pemimpin–pemimpin parti komponen BN terlebih dahulu. Semangat perpaduan ini perlu diperkasakan di peringkat kepimpinan tertinggi komponen BN dan juga ahli - ahlinya.

Bercakap mengenai situasi tersebut, Penulis ingin berkongsi beberapa petikan mengenai elemen “ Mudah dan Senang” yang di diterima daripada seorang sahabat baru–baru ini. Mungkin sesuai untuk ahli–ahli politik.

Berikut adalah petikan tersebut :

- Mudah untuk cari salah orang lain, Sulit untuk mengakui kesalahan diri sendiri.- Mudah untuk mempamerkan kemenangan, Sulit untuk berjiwa besar menerima kekalahan.- Mudah untuk bermimpi tiap hari,Sulit bertarung untuk sebuah impian.- Mudah berdoa tiap hari,Sulit untuk mendapatkan rahmat Tuhan.- Mudah sangat mengkritik sesiapa sahaja, Sulit untuk memperbaiki diri sendiri.- Mudah untuk menerima sesuatu,Sulit untuk memberi sesuatu.- Mudah untuk melupakan seseorang,Sulit untuk mengucapkan perpisahan.

Maka jadilah pemimpin yang bersifat cakap serupa bikin, bukanya cakap tak serupa bikin.

Tiada ulasan: