Khamis, 12 November 2009

Panel SPRM mahu semak semula kes Lingam

Christine Chan


Ekoran kritikan hebat terhadap 'penutupan' kes Datuk VK Lingam, panel penilaian operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PPO) telah menyuarakan hasratnya untuk menyemak semula perkara itu.

Ketika dihubungi hari ini, seorang jurucakap SPRM berkata PPO akan menghantar surat kepada pejabat peguam negara untuk memohon kebenaran untuk berbuat demikian.

Keputusan untuk menyemak semula kes berprofail tinggi itu dibuat dalam mesyuarat PPO pagi ini.

Panel tersebut dianggotai oleh pengerusinya, bekas ketua pengarah Audit Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, Datuk Cecil Abraham, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Walter Sandosam, Aminah Pit Abd Raman, Md Hamzah Md Kassim dan Syed Noh Syed Ahmad.

"PPO mahu menyemak semula kes tersebut kerana kepentingan awam," kata jurucakap itu, sambil menambah syor panel itu mesti dipatuhi SPRM seperti yang diperuntukan dalam Akta SPRM 2008.

Kerajaan menjadi sasaran kritikan apabila menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz mendedahkan tiada 'tindakan lanjut' akan diambil dalam kes tersebut.

Ia seterusnya mencetuskan bantahan apabila beliau menegaskan bahawa tindakan Lingam itu walaupun salah di segi moral, tetapi tidak melanggar sebarang undang-undang.

Tiada ulasan: