Selasa, 17 November 2009

Pahang disaran tuntut RM2b daripada Pusat

Oleh Rosli Abdul Jalil


KUANTAN: Kerajaan Pahang disaran menuntut sejumlah RM2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan sebagai pampasan kepada kesediaan kerajaan negeri mewartakan kawasan seluas lebih satu juta hektar untuk kawasan tadahan air dan hutan simpan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lembing, Datuk Sohaimi Mohamed Shah, berkata kerajaan negeri harus menuntut pampasan lebih besar kerana tuntutan RM280 juta yang dipohon sebelum ini agak kecil berbanding pengorbanan kerajaan negeri.

"Tuntutan yang dibuat terlalu sedikit dan lebih baik kita minta lebih sikit kerana sudah tentu Kerajaan Persekutuan tidak akan menawarkan pampasan lebih kecil," katanya ketika membahaskan Bajet Negeri 2010 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Katanya, Kerajaan Persekutuan seharusnya menghargai pengorbanan kerajaan negeri mewartakan sejumlah besar kawasan hutan dan tadahan air yang bukan saja untuk kepentingan negeri tetapi juga negeri berjiran seperti Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Beliau berkata, kerajaan negeri kehilangan hasil berjuta-juta ringgit kerana ia tidak dapat meraih hasil daripada aktiviti pembalakan atau sebarang hasil hutan di kawasan terbabit.

Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika membentangkan Bajet Negeri 2010 berkata kesanggupan Kerajaan Negeri berkorban demi kepentingan negara dengan mewartakan kawasan begitu luas sebagai kawasan tadahan air, akan diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jika semua kawasan hutan di Pahang dihapuskan, ia bukan saja menjejaskan bekalan air di Pahang tetapi menjejaskan bekalan air ke Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak kerana paras air sungai utama di negeri terbabit ini berpunca dari kawasan tadahan air di kawasan gunung-ganang dan bukit-bukau di Pahang.

Sehubungan itu, beliau memohon Kerajaan Persekutuan memberikan pampasan sebanyak RM280 juta setahun sebagai balasan pengorbanan mewartakan kawasan hutan tadahan air.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berusaha mengambil tindakan positif bagi mengekal dan memulihara khazanah hutan demi kepentingan negara dan generasi akan datang bagi menjamin sumber bekalan air mentah terus berkekalan.

Katanya, pewartaan kawasan hutan sebagai kawasan tadahan air dilaksanakan selaras dengan kehendak dan dasar Kerajaan Persekutuan supaya kawasan hutan yang boleh menjamin sumber air mentah negara dikekalkan demi kepentingan semua pihak.

Sehingga kini, katanya kerajaan mewartakan kawasan hutan seluas 972,839 hektar sebagai kawasan tadahan air.

Katanya, jika lesen pembalakan dikeluarkan ke atas kawasan seluas 972,839 hektar itu, kerajaan negeri boleh mendapat hasil dari premium dan cukai pasaran melebihi RM28.1 bilion.

Tiada ulasan: