Khamis, 19 November 2009

OTK lantik CSL Pengerusi MCA Johor; Perjelas Tindakannya Merombak Majlis Presiden

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah dilantik sebagai pengerusi MCA Negeri Johor.

Pelantikan itu diumumkan oleh presiden parti itu Datuk Seri Ong Tee Keat, menerusi laman blognya www.ongteekeat.net.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri Johor yang baru,” kata Tee Keat.

Ini adalah pelantikan kali kedua Dr Chua Soi Lek ke jawatan yang sama. Beliau pernah memegang jawatan itu antara tahun 2003 dan 2008.

Dalam pada itu, Tee Keat juga menulis bahawa beliau memerlukan pasukan yang seratus peratus percaya kepada pelan perpaduan untuk memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Untuk mencapai matlamat ini, beliau berkata, beliau terpaksa membuat rombakan di mana yang perlu kepada beberapa jawatan tertentu dengan mereka yang mempunyai kebolehan untuk melaksanakan pelan perpaduan yang memperolehi sokongan dua pertiga daripada anggota jawatankuasa pusat parti.

“Kita tidak boleh bergantung kepada mereka yang tidak percaya kepada pelan perpaduan apatah lagi mereka yang bercadang untuk menolaknya sedangkan pelan ini mendapat restu dan sokongan daripada perdana menteri sendiri," tegas beliau.

Tee Keat juga menegaskan di bawah Perkara 47, Perlembagaan MCA, Majlis Presiden adalah merupakan satu badan pentadbir yang dimandatkan dengan kuasa untuk melaksanakan keputusan yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat.

“Majlis Presiden, sebagaimana namanya adalah merupakan satu badan yang presiden parti meletakkan kepercayaan untuk melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pusat dan juga perhimpunan agung.

“Pelaksanaan pelan perpaduan adalah satu contoh yang jelas di mana pelan ini disokong secara demokratik dalam Jawatankuasa Tetap dan kini Majlis Presiden sebagai badan pelaksana perlu memastikan apa yang telah diputuskan dilaksanakan mengikut jadual.

"Ini adalah prinsip paling asas yang diamalkan oleh mana-mana organisasi di dunia ini,” katanya. Pada masa yang sama, Tee Keat berkata, adalah tidak betul untuk menuduh bahawa pemuda dan wanita MCA dipancung daripada diwakili di dalam Majlis Presiden.

“Malah, kedua-dua Pemuda dan Wanita MCA boleh menduduki Majlis Presiden sebagai anggota jemputan,” katanya lagi.

Pada masa dan saat ini, kata Tee Keat adalah penting untuk semua ahli parti mengenepikan perbezaan mereka dan bekerja ke arah perpaduan demi masa depan parti.

“MCA tidak boleh kehilangan banyak waktu lagi untuk memperolehi sokongan daripada rakyat untuk berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang. Atas sebab itulah saya boleh bekerjasama semula dengan Dr Chua di sebalik perbezaan pendapatan antara kami berdua pada masa lalu,” ujarnya.

Tiada ulasan: