Sabtu, 28 November 2009

'Orang bukan Islam boleh terima daging aqiqah'

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Daging korban dalam ibadat aqiqah boleh diberikan kepada orang bukan Islam jika pemberinya pihak kedua iaitu penerima daripada pihak pertama kata, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Beliau berkata, bagaimanapun pihak pertama (orang yang melakukan ibadah korban) diharam mengagihkan daging aqiqah kepada orang bukan Islam kerana ia ibadah hanya kepada orang Islam.

"Menjemput orang bukan Islam makan daging sembelihan korban sunat (dari pihak kedua) adalah dibolehkan, asalkan ia mempunyai niat yang baik dan tidak bertentangan dengan tujuan dan matlamat murni korban itu sendiri, bagaimanapun syaratnya ialah bukan daripada daging korban wajib (dari pihak pertama).

"Di sini menjelaskan bahawa orang bukan Islam adalah golongan pihak ketiga," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Kata beliau masyarakat perlu memahami dengan betul konteks sebenar syarat korban agar tidak berasa bersalah kerana menganggap melanggar hukum syarak yang mengharamkan daging aqiqah ini diberi makan kepada bukan Islam.

"Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama bahawa orang bukan Islam boleh diberi makan daging korban sunat patut dipertimbangkan.

"Ini juga dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri," katanya.

Jelas beliau jika diundang tetamu bukan Islam, sekurang-kurangnya wujud pemahaman bahawa Islam tidak menghalang pergaulan dan penglibatan mereka dalam majlis Islam.

Tamyess juga bersetuju dengan pendapat Pegawai Hal Ehwal Agama di Jabatan Mufti Perlis, Sirajuddin Abdul Satar dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji semula fatwa membenarkan masyarakat bukan Islam memakan daging korban terutama sempena Aidiladha.

Bagaimanapun Setiausaha Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini.

"Kami tidak berani masuk campur hukum hakam agama, justeru mufti sendiri harus berbincang dalam menyelesaikan perkara ini," katanya kepada Berita Harian.

Tiada ulasan: