Isnin, 30 November 2009

Ong tolak tempoh 60 hari

BERNAMA


PRESIDEN MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (kanan) dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada sidang akhbar di Banggunan MCA, minggu lepas. - Foto Abdullah Yusof

Deklarasi 1128 tak ikut perlembagaan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, semalam menolak Deklarasi 1128 yang dipersetujui kumpulan penyokong Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kelmarin yang mahu pemilihan semula parti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ong menyifatkan tuntutan deklarasi itu semata-mata mahu pemilihan semula parti itu diadakan segera sedangkan jika ia (pemilihan semula) mahu diadakan, ia perlu mengikut perlembagaan parti dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pusat (CC).

"Adalah penting bagi semua pihak mematuhi perlembagaan parti.

"Jika kita sayang demokrasi dalam MCA, kenalah semua pihak akur kepada amalan atau akur kepada keputusan yang dibuat majoriti ahli CC, takkanlah yang majoriti ini kena tunduk kepada yang segelintir. Itu bukan caranya kita menguruskan parti atau demokrasi parti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri jamuan Aidiladha 2009 kawasan Parlimen Pandan di sini, semalam.

Kelmarin, dalam sesi taklimat khas anjuran kumpulan pro Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, sebulat suara meluluskan Deklarasi 1128 yang mendesak supaya pemilihan semula diadakan dalam tempoh 60 hari.

Seramai 1,193 perwakilan yang hadir pada sesi taklimat khas itu, bagaimanapun mahu jawatan Ketua Wanita dan Pemuda tidak dipertandingkan.

Liow berkata, hanya dengan pemilihan semula ini dapat mengembalikan demokrasi, maruah dan integriti parti yang kini berhadapan dengan krisis kepemimpinan.

Ong berkata, persoalan sama ada mahu ditunda Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) atau tidak hendaklah dirujuk kepada CC dan setahunya AGM itu akan tetap diadakan pada 5 Disember ini.

Mengenai golongan yang mahu pemilihan baru diadakan untuk ahli CC dan tidak perlu bagi sayap Pemuda dan Wanita, Ong berkata, pemimpin di peringkat akar umbi mahu pemilihan diadakan serentak mengikut perlembagaan parti dan seperti yang dibuat Umno.

Ong mendakwa ketika beliau berada di London baru-baru ini banyak fitnah dilemparkan terhadapnya mungkin kerana ada pihak yang kurang senang dengan tindakannya yang mahu penyelewengan projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disiasat.

Katanya, beliau sedar ada banyak pihak yang mahu menjejas dan menghancurkan kerjaya politiknya tetapi demi untuk kebenaran beliau tidak akan mengalah.

Tiada ulasan: