Ahad, 8 November 2009

Ong membisu isu Geng 16

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat terus mengunci mulut’ daripada memperkatakan isu berkaitan parti, termasuk mengenai tindakan 16 Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang mahu mengadakan satu lagi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 28 November ini.

Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kepong 3, di sini semalam, Menteri Pengangkutan itu, berkata: “Sesetengah daripada anda (pemberita) mungkin berminat tanya soalan berkaitan MCA, tetapi kita berada di sini untuk bercakap mengenai pendidikan”.

Katanya, beliau perlu berlaku adil kerana baginya isu pendidikan lebih penting daripada memperkatakan mengenai isu politik yang tidak berkesudahan.

“Pendidikan untuk masyarakat... pendidikan yang kita perlu dapatkan komitmen daripada masyarakat pastinya lebih bermakna daripada pertikaian politik yang tiada berkesudahan. Kita kena bersikap adil kepada sekolah ini dan saya hanya mahu membicarakan soal pendidikan,” katanya.

Mengenai pendidikan, Ong berkata, masyarakat perlu melihat sistem sekolah Cina dan Tamil sedia ada sebagai aset, bukan liabiliti kerana bahasa ibunda adalah penting untuk kaum masing-masing.

“Pendidikan adalah satu komitmen yang perlu dijadikan salah satu pemangkin dalam gagasan 1Malaysia kerana ia juga membabitkan perpaduan antara kaum. Di peringkat inilah generasi muda belajar bergaul,” katanya.

Sementara itu, Ahli CC MCA, Datuk Seri Tan Chai Ho yang juga Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, berkata lebih 600 perwakilan parti yang juga penyokong kuat Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dijangka tidak menghadiri EGM 28 November ini.

Ini kerana, katanya, dua resolusi yang akan dibentangkan pada EGM terbabit bertentangan dengan Perlembagaan MCA dan perkara itu turut dijelaskan Pengerusi Biro Undang-Undang parti, Lim Hong Sang serta punca Setiausaha Agung parti tidak melayan permintaan mengadakan EGM kedua.

“Sebagai ahli parti kita perlu hormat Perlembagaan MCA dan saya berharap kumpulan berkenaan juga akan berbuat demikian. Saya harap kita kembali bersatu, seterusnya menyokong pelan perpaduan bagi menyelamatkan MCA. EGM bukan penyelesaian, sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Dua resolusi yang akan dibentangkan dalam EGM kedua itu ialah membubarkan CC dan mengadakan pemilihan bagi mendapatkan mandat baru dalam tempoh 30 hari dan sebarang perubahan jawatan parti, termasuk pelantikan dan pemecatan selepas EGM 10 Oktober lalu dianggap tidak sah serta batal.

Tiada ulasan: