Jumaat, 20 November 2009

Nizar Jamaluddin mahu siasat segera skandal babitkan pemimpin atasan negara

DETIK DAILY

Skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh serta skandal pita video V.K Lingam dikatakan antara kes berprofil tinggi dan kosnpirasi peringkat atasan. Sejauh mana kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyingkap dan menamatkan skandal ini? Wartawan, NYZA AYOB mendapatkan reaksi Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memperkatakan isu ini. Beliau Ahli Parlimen Bukit Gantang dan juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Dalam isu PKFZ, mengapa siasatan oleh SPRM tidak dimulakan ke atas pengakuan Pengerusi Kuala Dimensi Tan Sri Tiong King Sing yang mengakui memberi RM10 juta kepada Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Kiat?

DATO' SERI NIZAR JAMALUDDIN: Saya berpendapat isu ini melibatkan bekas pimpinan Umno dan bekas pimpinan MCA sama ada Adun-Adun atau menteri-menteri. Pada awalnya, walaupun Najib sendiri memberikan laluan supaya kes ini dibongkar sedalam-dalamnya serta didedahkan, tetapi akhirnya apabila diketahui ramai pimpinan Umno dan MCA terlibat dalam kes ini, maka terdapat usaha dalaman komponen kedua-dua parti BN ini untuk mengekang supaya jangan diteruskan siasatan itu.
Kalau dulu semangat berkobar-kobar untuk mendedahkan, kononnya Ong Tee Keat kata sampai ke lubang cacing bagi menunjukkan pentadbiran Najib ini bersih dan dapat menghapuskan rasuah. Walaupun didedahkan Ahli Parlimen Bintulu yang juga Pengerusi Kuala Dimensi, Dato' Seri Tiong King Sing, SPRM hanya mengambil tindakan sekadar temubual dan pertemuan dalam waktu yang singkat sahaja. Akhirnya ia terbantut di tengah jalan.

Mengapa agaknya siasatan tersebut terhenti di tengah jalan?

Saya berpendapat siasatan tersebut terhenti kerana terdapat ramai pimpinan Umno di peringkat negeri serta pusat terlibat. Maka itulah sebabnya SPRM barangkali diarahkan memberhentikan atau melengah-lengahkan siasatan.

Laporan tentang kegagalan PKFZ ini telah dibuat dalam Laporan Audit 2003 lagi, kenapa tiada tindakan awal diambil?

Sewaktu itu, pimpinan BN di bawah Dr Mahathir. Kemudian di bawah Abdullah Badawi. Kedua-dua mereka adalah Menteri Kewangan. Jadi, mereka mendapat surat daripada Presiden MCA yang secara kebetulan adalah Menteri Pengangkutan. Apa-apa sahaja kelulusan dan sokongan daripada menteri akan diluluskan oleh Menteri Kewangan.

Oleh kerana ia melibatkan Menteri Kewangan, ia mencemarkan identiti Perdana Menteri sendiri yang pada masa yang sama adalah Menteri Kewangan. Empat pucuk surat yang dibuat oleh Chan Kong Choy (bekas Menteri Pengangkutan) itu merupakan surat sokongan supaya diluluskan apa sahaja yang dilakukan Kuala Dimensi Sdn Bhd.

Akhirnya, yang membayar dan meluluskan ialah Menteri Kewangan. Menteri Kewangan sebagai Presiden Umno telah membuat cerminan atau persepsi yang tidak elok. Walaupun kes ini ditangguhkan dari 2003, tetapi bertentangan dengan konsep asal PKFZ tetapi akhirnya ia meningkat berbilion-bilion.

Apa sahaja tuntutan-tuntutan palsu disokongan Chan Kong Choy diluluskan oleh Kementerian Kewangan yang melibatkan Perdana Menteri serta pimpinan Umno. Dan pada ketika itu tidak diambil tindakan.

Satu lagi skandal terbesar membabitkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh. Kegagalan dikesan sejak Jun 2003 di peringkat infrastruktur. Mengapa ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mahu siasat kes ini?

Skandal ini juga melibatkan pemimpin Umno. Sekurang-kurangnya Dr Mahathir turut terlibat. Isu tersebut juga melibatkan Kerabat Di Raja dan ada usaha-usaha tertentu untuk memberhentikan siasatan terhadap kes ini apabila ia tidak selari dengan perbelanjaan asal.

Ia juga melibatkan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi. Namanya dikatakan terlibat dengan syarikat Emrail Sdn Bhd, salah satu kontraktor yang terbabit dalam dalam projek tersebut.

Sebab itu saya dapati kes jambatan berkembar ini mempunyai unsur-unsur yang sama dengan PKFZ. Jika kita lihat apa yang berlaku pada landasan berkembar ini, mungkin kes ini setaraf dengan PKFZ malahan lebih dasyat lagi. Ia tidak mempunyai siasatan lanjut sebagaimana PKFZ dan tidak ada suruhanjaya bagi menyiasat kes ini. Tetapi pada asasnya, ia turut melibatkan orang tertentu dan kenamaan tertentu.

Kerajaan kerugiaan RM1.43 bilion dalam pembinaan landasan berkembar ini. Pihak mana yang harus dipertanggungjawabkan dan mengapa DRB-Hicom selaku pihak yang gagal melaksanakan projek infra tidak diheret ke SPRM dan mahkamah?

Oleh kerana ia melibatkan pihak berprofil tinggi, saya rasakan pihak SPRM gagal menyiasat penyalahgunaan kuasa ini. Projek landasan ini melibatkan kenamaan terkenal, sebab itu saya fikir isu ini cuba 'ditahan'.

Jadi Dato' Seri, apabila Pengerusi PAC, Dato' Seri Azmi Khalid mengatakan akan memanggil Menteri Pengangkutan dan semua kontraktor yang terlibat untuk disoal siasat, apakah Dato' Seri yakin PAC juga akan memanggil sama Tun Zaki Azmi?

Saya berpendirian sekiranya ada usaha menarik indiividu tertentu khususnya yang dinyatakan itu, ini mencerminkan satu usaha yang positif serta melambangkan konsep 1Malaysia yang dilaungkan Dato' Seri Najib.

Tetapi jika ia hanya satu kenyataan retorik dan tidak ada usaha yang betul-betul serius, itu mencemarkan lagi Najib Tun Razak. Dan biarlah apa yang dikatakan pihak SPRM sendiri, teruskan usaha tersebut tanpa ada gangguan dan rasa takut daripada pihak atasan.

Itu yang patut dibuat. Dan di parlimen pun, kita mahukan SPRM tidak bertanggung jawab kepada Jabatan Perdana Menteri tetapi sebaliknya kepada parlimen. Tetapi apabila ia berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, ia boleh diperkotak-katik oleh pihak-pihak tertentu.

Dato' Seri, beralih kepada kes pita video V.K Lingam. Merujuk jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz baru-baru ini terhadap isu tersebut, adakah itu menggambarkan ketelusan dalam sistem penghakiman di Malaysia?

Saya fikir ini merupakan perkara yang amat malang kepada rakyat Malaysia dan institusi kehakiman. Sejak zaman Abdullah Badawi lagi, satu Suruhanjaya Diraja telah dibentuk dan siasatan memakan wang berjuta ringgit.

Keputusan juga telah dibuat dan siapa orang yang terlibat dalam isu ini. Dan bagi isu V.K Lingam, mereka terpaksa mengambil tindakan sebagaimana disyorkan Suruhanjaya Diraja. Tetapi malangnya oleh kerana kes ini juga melibatkan individu yang berprofil tinggi di mana hari ini dapat dilihat Tun Dr Mahathir seoalah-olah bersama dengan Najib dalam isu ini.

Barangkali terdapat usaha-usaha mengatakan kes V.K Lingam ini sudah selesai dan merupakan usaha-usaha melindungi individu yang berprofil tinggi itu.

Akhir sekali, bagaimana Dato' Seri melihat Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM yang mahu meneliti semula kes ini?

Saya gembira sekiranya PPO berani membuka semula fail kes tersebut. Barangkali ada pihak tertentu berpendapat kes ini boleh mendapat laba tertentu kepada satu-satu kumpulan atau satu-satu parti.

Saya menyambut baik usaha tersebut dan janganlah separuh jalan. Oleh kerana tindakan ini dibuat, ada seorang yang berani mengaku, jadi saksi utama. Oleh kerana bukti cukup kuat dan apa yang diusahakan Ahli Parlimen Kelana Jaya tempoh hari mendapat gambaran yang cukup jelas.

Jika dibiarkan begitu, kita lihat populariti Najib sebagai Perdana Menteri agak turun khususnya di kalangan golongan intelek dan urban. Saya fikir terdapat desakan dan tekanan untuk menggunakan PPO bagi membuka semula fail ini.

Apabila Nazri mengatakan kes pita video V.K Lingam ini sudah selesai, rupanya tekanan pihak luar khususnya di rantau Asia, menyebabkan fail kes tersebut terpaksa dibuka kembali. Saksi-saksi utama yang memberikan maklumat terhadap kes ini tidak dapat dinafikan begitu sahaja. Saya menyambut baik tindakan PPO SPRM untuk membuka semula siasatan kes ini.

Tiada ulasan: