Jumaat, 13 November 2009

Nik Aziz batal ke Mekah selepas tajaan dipertikai

BERNAMA


Menteri besar Kelantan membatalkan hasratnya menunaikan fardu haji musim ini kerana bosan dengan kerenah media, yang banyak mempersoalkan permergian beliau ke tanah suci itu yang ditaja pihak tertentu.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai menteri besar.

Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS, berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu hari ini.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan bahawa SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan yang menteri besar Kelantan dan keluarganya mendapat tajaan untuk menunaikan ibadah haji.

Laporan yang memetik sumber itu menyebut bahawa jika ada unsur rasuah dan salah laku dalam kes itu, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya.

Tiada ulasan: