Sabtu, 21 November 2009

Najib Cadang Formula Selesai Krisis MCA

BERNAMA


PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah mencadangkan formula bagi menyelesaikan krisis MCA selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin utama parti itu sejak semalam.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pemimpin MCA sedang menimbangkan cadangan yang beliau berikan dan yakin mereka akan bersetuju dengan formula dicadangkan itu.

"Tujuannya (pertemuan) supaya dapat dicari titik pertemuan krisis MCA.

"Saya juga telah menggambarkan apakah bentuk penyelesaian dan formula yang mungkin boleh diterima semua pihak dan dengan harapan bahawa formula ini dapat mengembalikan kredibiliti dan keyakinan ahli MCA dan masyarakat Cina terhadap MCA," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Najib berkata beliau telah memaklumkan kepada Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan dengan para pemimpin MCA berdasarkan formula yang beliau berikan itu.

"Saya difahamkan mereka sedang menimbangkan cadangan ini dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan mereka boleh menerima cadangan yang saya telah bayangkan.

"Saya telah memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perbincangan dengan pemimpin MCA berdasarkan formula yang saya gambarkan itu oleh kerana saya dijadualkan berlepas ke Trinidad & Tobago untuk menghadiri sidang CHOGM (Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel)," katanya.

Najib berkata berdasarkan pertemuan secara berasingan dengan pemimpin-pemimpin utama MCA itu, beliau yakin krisis MCA akan dapat diselesaikan segera.

"Nampaknya ada harapan mereka boleh bersetuju menerima cadangan dan formula yang saya cadangkan."

Ditanya bila agaknya krisis MCA yang sudah berlarutan hampir tiga bulan itu akan selesai dan apakah bentuk formula itu, Najib berkata: "Tak apa lah. Nanti bila mereka dah bersetuju kita akan beritahu.

"(Saya) yakin boleh, nampaknya ada harapan tapi kita tunggu sehari dua, kita nak selesaikan secepat mungkin."

Terdahulu, Najib menghadiri majlis penyerahan surat wakil pengurusan ibadah korban Aidiladha bagi Parlimen Pekan, di sini.

Sebanyak 427 ekor lembu dan tiga ekor unta diagihkan kepada 55 masjid dan 160 surau di kawasan Parlimen Pekan.

Tiada ulasan: