Isnin, 2 November 2009

MPPP sempitkan 1Malaysia hanya untuk 1Parti

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Bagai diduga kewujudan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani benar-benar menjadi medan Barisan Nasional (BN) mempertahankan hegemoni kuasanya di peringkat akar umbi. Penafian hak wakil-wakil rakyat pembangkang untuk ikut menyertai majlis tersebut adalah usaha terang-terangan BN untuk memonopoli halatuju dan modus operandi MPPP agar sentiasa bertepatan dengan agenda parti tersebut

Kesimpulan itu bukan terjahan rambang atau semata-mata andaian negatif berpaksikan sentimen politik kepartian. Ia sebaliknya diserlah dan diakui menteri berkenaan sendiri.

“Pembangkang kena faham sebagai menteri yang melantik pengerusi MPPP, pastilah saya pilih di kalangan ahli BN kerana mereka mempunyai dasar dan polisi yang sama seperti kerajaan (Pusat),” akhbar memetik pengakuan Dato’ Seri Noh Omar.

Beliau melontarkan hujah kampungan itu sebagai reaksi soalan tambahan Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pada sidang Dewan Rakyat, Rabu (28 Oktober) lalu.

Siti Zailah dalam soalannya mempertikaikan fungsi sebenar MPPP, terutama apabila Ahli Parlimen pembangkang diketepikan daripada menjadi anggota majlis berkenaan.

“Kita (BN) hendak pastikan duit yang hendak disampaikan kepada rakyat sampai, pastilah kita akan gunakan jentera kita sendiri... kalau kita lantik (wakil rakyat) pembangkang, mungkin dia akan kata duit itu daripada pembangkang,” Noh menghuraikan logik primitifnya.

Sepintas lalu dapat diselami betapa jawaban itu seolah-olah meletakkan pemikiran rakyat negara ini masih di tahap sangat rendah, sehingga terlalu mudah ditipu wakil-wakil rakyat. Nipis sangatkah jatidiri wakil rakyat pembangkang untuk mengakui bantuan kerajaan Pusat sebagai huluran peribadi mereka?

Ataukah barangkali menteri itu sebenarnya mendedahkan tabiat buruk beliau dan rakan-rakannya sendiri? Seseorang yang biasa mencuri atau menipu akan ingat orang lain juga suka mencuri atau menipu sepertinya. Lalu barangkali oleh kerana sudah menjadi tabiat para pemimpin BN suka memutarbelit sesuatu perkara, mereka akan menganggap pemimpin parti lawan juga bertabiat buruk seperti mereka.

Ataukah sentimen politik kepartian menteri berkenaan terlalu tebal dan berkarat sehingga otaknya tidak lagi dapat berfikir secara rasional dan profesional dalam menguruskan kementeriannya?

Hakikat itu juga bukan semata telahan jika diteliti jawaban Noh seterusnya. Sebagai menteri yang bertanggungjawab memajukan sektor pertanian di seluruh negara, tergamak beliau mencadangkan agar parti lawan yang menguasai beberapa negeri mencari peruntukan sendiri untuk tujuan tersebut.

Apakah sikap diskriminasi menteri berkenaan menepati konsep 1Malaysia dicanangkan kerajaan mutakhir ini?

Dalam menghuraikan konsep 1Malaysia, para pemimpin dan pendokong kerajaan bersungguh cuba meyakinkan rakyat betapa segala yang dirancang dan dilaksanakan kerajaan adalah untuk manfaat semua pihak. Kononnya tidak akan ada yang dipinggirkan. Tiada pilih kasih atau diskriminasi, sama ada di atas garisan kaum, agama mahu pun kecenderungan politik.

Kerajaan kini dibebani tanggungjawab membuktikan betapa 1Malaysia benar-benar konsep yang adil dan saksama untuk semua pihak. Makanya sebarang dasar atau peraturan dilaksanakan mana-mana kementerian tertakluk kepada penilaian dari perspektif keadilan dan kesaksamaan itu.

Lawan kepada dua prinsip itu ialah pilih kasih atau diskriminasi. Sikap dan tabiat primitif inilah yang sejak sekian lama melekat kuat pada batang tubuh BN. Senarai tindakan diskriminasi BN, terutama di peringkat akar umbi amat panjang.

Imej dan reputasi parti itu sebagai pemerintah yang gemar menafikan hak dan kepentingan segolongan rakyat, terutama di atas merit politik, menjadi antara penyebab utama ia dibenci dan ditolak rakyat.

BN sedar rupa hodohnya itu dan cuba memperbaikinya. Malangnya tindakan tidak demokratik seorang menteri tadi merosakkan imej 1Malaysia yang rancak dicanangkan kini.

MPPP ditubuhkan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara. Ia pada asasnya diterajui Ahli Parlimen kawasan masing-masing dan turut dianggotai semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ketua-ketua jabatan kerajaan berkaitan pertanian.

Bagaimana pun dalam pelaksanaannya yang dipertikaikan, hanya Ahli Parlimen BN dijadikan Pengerusi MPPP. Manakala di kawasan dimenangi pembangkang, pengerusi majlis itu diserahkan kepada mana-mana Adun BN yang menang. Jika tidak ada wakil rakyat BN, difahamkan seorang ketua parti komponen BN dilantik menerajui majlis tersebut.

Ada pun wakil rakyat pembangkang jangan dikatakan untuk mempengerusi MPPP, untuk turut menganggotainya pun tidak dibenarkan. Hakikat itu sekali gus menyuburkan persepsi bahawa kweujudan majlis itu sebenarnya manipulasi kuasa BN untuk memperkukuhkan cengkaman politiknya di peringkat akar umbi.

Bagi kita tindakan melampau menteri berkenaan bukan sahaja mencemarkan hasrat murni konsep 1Malaysia yang cuba menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan, malah memberikan isyarat salah betapa 1Malaysia dalam MPPP lebih bermaksud 1Parti, iaitu hanya BN.

Apakah parti itu sudah sebegitu terdesak mempertahankan hegemoni kuasanya?

Tiada ulasan: