Selasa, 10 November 2009

Monorel haji beroperasi tahun depan

BERNAMA


MAKKAH: Masalah kesesakan lalu lintas antara Makkah, Mina, Arafah dan Mudzalifah pada musim haji dijangka selesai tahun depan apabila sistem monorel mula beroperasi, lapor akhbar tempatan berbahasa Inggeris Arab Saudi, Arab News.

Laporan itu memetik Timbalan Menteri Perbandaran dan Hal Ehwal Pedalaman, Habeeb Zain Al-Abidine, sebagai berkata sistem monorel itu boleh membawa 500,000 jemaah setiap enam hingga lapan jam.

"Ini akan membantu mengurangkan sekurang-kurangnya 30,000 bas kecil dan besar daripada perkhidmatan haji," katanya.

Zain Al-Abidene berkata, projek monorel itu yang dianggar bernilai SR6.75 bilion itu akan membawa perubahan besar dalam pengangkutan jemaah haji.

"Projek ini akan mengurangkan kesesakan di kawasan terbabit, mengurangkan tekanan di jalan raya dan membantu jemaah tiba lebih awal ke destinasi mereka," katanya.

Sementara itu, akhbar berkenaan melaporkan 11 pusat pemeriksaan yang lengkap diwujudkan berhampiran semua pintu masuk ke Makkah bagi mengesan jemaah yang cuba memasuki bandar itu secara haram.

"Kita menempatkan petugas di semua pintu masuk udara, darat dan laut untuk menyambut kedatangan jemaah dan memudahkan kemasukan mereka ke Makkah dan Madinah," kata Komander Pasukan Keselamatan Haji Untuk Pasport, Kol Ayied bin Taghaleeb Al-Harbi.

Al-Harbi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba menyeludup masuk jemaah dalam negeri yang tidak membawa permit haji.

"Penyeludup akan didenda SR10,000, penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tiada ulasan: