Isnin, 9 November 2009

Mohd. Asri terus berdakwah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tetap akan meneruskan aktiviti dakwah walaupun berhadapan dengan isu pertelagahan dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (Pgsm) dan tuduhan beberapa pihak lain terhadap dirinya.

Katanya, beliau bersyukur kerana ada pihak yang terus menjemputnya untuk menyampaikan ceramah agama termasuk kerajaan Negeri Kelantan dan Johor.

"Saya berterima kasih kepada pihak-pihak berkenaan kerana membenarkan saya berceramah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu pertelagahan melibatkan dirinya dan Pgsm ekoran memorandum yang diserahkan persatuan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membantah cadangan pelantikan Mohd. Asri sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mohd. Asri selepas itu mendakwa Pgsm telah memohon maaf kepadanya menerusi satu musyawarah yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom baru-baru ini.

Pgsm bagaimanapun menafikan membuat permohonan maaf itu kepada Mohd. Asri dan turut menafikan laporan kononnya persatuan itu menarik balik memorandum tersebut.

Mohd. Asri sebelum itu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika menyampaikan ceramah atas alasan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Asri ketika diminta mengulas penafian Pgsm itu berkata, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa persatuan itu telah memohon maaf kepadanya berdasarkan kepada musyawarah yang diadakan.

Tiada ulasan: