Isnin, 23 November 2009

Model pembelajaran SJKC ke sekolah kebangsaan

BERITA HARIAN ONLINE


KERAJAAN akan melihat kaedah pembelajaran Matematik dan Sains yang diterapkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berikutan prestasi lebih baik yang ditunjukkan dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia untuk diguna pakai di Sekolah Kebangsaan (SK) yang mana dilihat ada jurang pencapaian antara kedua-dua jenis sekolah ini.

Beliau berkata, walaupun secara keseluruhan keputusan UPSR tahun ini adalah lebih baik, masih ada perbezaan keputusan dalam kedua-dua mata pelajaran itu antara SK dan SJKC.

"Kita mahu melihat model pembelajaran yang mereka gunakan dan saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) bersama Lembaga Peperiksaan untuk melakukan kajian berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Republik Indonesia, Fadel Muhammad, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain perbezaan keputusan mata pelajaran, analisis pencapaian dalam beberapa perkara juga akan dikaji.

“Ia meliputi antara sekolah dengan sekolah, pelajar perempuan dengan lelaki serta sekolah bandar dan luar bandar.

“Jurang ini harus dianalisis bagi memastikan pencapaian yang lebih baik untuk tahun seterusnya walaupun keputusan yang dicapai tahun ini lebih baik, katanya.

Sementara itu, ketika menghadiri majlis makan malam bersama pelajar Malaysia di Indonesia di sini, malam kelmarin, Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kecemerlangan di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pengajian tinggi di New Zealand, Australia dan Indonesia, satu hadiah kecemerlangan akan diwujudkan bermula tahun depan.

Anugerah inisiatif TMS Charity Golf Event itu sebagai mengiktiraf kejayaan dicapai pelajar yang menuntut di ketiga-tiga negara berkenaan.

“Anugerah berkenaan bukan semata-mata untuk mereka yang berjaya dalam bidang akademik, malah beberapa bidang berkaitan, iaitu untuk pelajar serba boleh,” katanya.

Selain pelajar, majlis dihadiri kira-kira 500 tetamu itu turut disertai pemain yang menyertai TMS Charity Golf Event.

Muhyiddin berkata, beliau berharap hadiah kecemerlangan itu dapat menaikkan semangat di kalangan pelajar untuk memberikan pencapaian yang terbaik.

"Selain sokongan moral, adalah juga penting untuk memberikan sokongan dalam bentuk material bagi membolehkan pelajar menjalankan pelbagai aktiviti.

"Ia kerana selain melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka juga bertanggungjawab dalam usaha mempromosi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, selain pembangunan dan kemajuan yang dicapainya," katanya.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menjelaskan kepada pelajar bahawa polisi dan langkah dilaksanakan kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia, bertujuan memperbaiki kehidupan rakyatnya.

Tiada ulasan: