Ahad, 15 November 2009

Mesyuarat kedua rumitkan parti

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Krisis kepemimpinan MCA hanya akan semakin rumit dan bercelaru tanpa jalan penyelesaian sekiranya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua tetap diadakan pada 28 November ini, kata peguam kanan yang juga ahli seumur hidup parti itu, Datuk Chong Tho Chin.

Bekas Setiausaha Kehormat MCA Wilayah Persekutuan selama 15 tahun dan Bendahari Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan itu, berkata kepemimpinan sedia ada, kecuali kem Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah menegaskan bahawa EGM itu bercanggah dengan Perlembagaan parti.

"Justeru, usul EGM itu berkemungkinan besar tidak akan diiktiraf oleh pihak terbabit walaupun ia diluluskan pada mesyuarat berkenaan, sekali gus menyebabkan konflik menjadi kian rumit dan berterusan," katanya di sini semalam.

EGM kedua mengandungi dua usul, meluluskan pemilihan semula Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) dan membuat pemilihan semula dalam tempoh 30 hari, manakala usul kedua ialah semua pelantikan, penyingkiran, pelaksanaan atau janji oleh Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat selepas EGM 10 Oktober lalu, dibatalkan.

Chong berkata, usul pertama tidak relevan kerana belum tiba masa mengadakan pemilihan parti seperti diperuntukkan Perlembagaan serta tiada pembubaran CC sedia ada dan menegaskan 16 ahli CC yang mahu mengadakan EGM kedua itu sepatutnya meletak jawatan terlebih dulu supaya dapat meyakinkan ahli CC lain.

"Anda mendesak orang lain letak jawatan tetapi anda sendiri tidak berbuat sedemikian?" katanya sambil menambah usul kedua juga sukar dicapai kerana Presiden berkuasa melantik dan memecat, termasuk ahli CC dan Majlis Presiden kecuali jika ada bukti kukuh yang tindakan itu tidak munasabah.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak terbabit dalam krisis MCA supaya mengetepikan perselisihan serta kepentingan diri demi kebaikan parti.

Tiada ulasan: