Khamis, 5 November 2009

MCA tolak usul buat EGM oleh 16 JK Pusat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR : MCA mengambil keputusan menolak permohonan 16 anggota Jawatankuasa Pusatnya agar diadakan satu Mesyuarat Agung Khas bagi memilih semula kepimpinan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Wong Fong Meng dalam kenyataannya berkata, berdasar kuasa yang diberikan di bawah Perkara 31 Perlembagaan MCA, usul itu tidak akan dilaksanakan.

Wong mengaku, Ibu Pejabat MCA telah menerima notis permohonan dari 16 AJK Pusat MCA, pada jam 4.50 petang 29 Oktober lalu, untuk diadakan satu EGM.

Mereka diwakili oleh Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng dan Datuk Liew Yuen Kong berdasarkan perkara 30.2 perlembagaan MCA.

Menurut Wong, permohonan itu telah dirujuk kepada Ketua Biro Undang-undang MCA, Lim Hing Sang dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pada 3 November semalam.

Menurut Wong, pada pandangan Biro undang-undang MCA, cadangan resolusi itu tidak berpelembagaan dan sukar untuk dilaksanakan kerana Mesyuarat agung tidak boleh memaksa atau mengarahkan pemilihan semula kecuali datang dengan:-

Perkara 35 dengan syarat Mesyuarat Agung boleh memecat mana-mana pemegang jawatan dengan kelulusan dua per tiga perwakilan disamping Perkasa 41 dan perkara 167 perlembagaan parti itu.

Dalam pada itu, MCA terus kucar kacir apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) memutuskan Datuk Seri Chua Soi Lek adalah timbalan presiden MCA yang sah.

Ini kerana, mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA sebelum ini telah melantik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai timbalan presiden.

Liow pula berkata, beliau akan mempertahankan haknya dan bersedia untuk ke mahkamah kerananya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein berkata, kementeriannya dan RoS bersedia ke mahkamah untuk mempertahankan keputusan RoS itu.

Sikap Hishamudin ini sangat mengelirukan kerana ketika ditanya pada 27 Oktober lalu beliau berkata, RoS tidak boleh campur tangan dalam isu MCA ini.

"Pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada jawatan Timbalan Presiden MCA dan usul tidak percaya terhadap Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dibuat menerusi EGM yang sah pada 10 Oktober lalu.

"Selepas EGM yang sah dan setelah merujuk Akta Pertubuhan 1966, kita dapati tiada peruntukan yang membenarkan ROS untuk campur tangan dan membuat keputusan dalam hal tersebut.

"Dalam hal ini kena bezakan kedudukan MCA dan PPP, ini kerana (isu) PPP adalah berkisar kepada kesahihan EGM yang dipanggil oleh Datuk T. Murugiah," katanya dalam sidang media di Parlimen 27 Oktober lalu.

Namun, semalam RoS dalam suratnya menyatakan Chua Soi Lek adalah timbalan presiden MCA yang sah dan hari ini di lobi Parlimen Hishamudin berkata, kementeriannya akan mempertahankan keputusan RoS itu dan sedia ke mahkamah.

_

Tiada ulasan: