Jumaat, 20 November 2009

MCA: Perlu campurtangan PM selesai krisis

MALAYSIA KINI


Setiausaha penerangan MCA Senator Heng Seai Kie berkata setiap parti bertanggungjawab menyelesaikan sendiri sebarang krisis dalamannya.

Bagaimanapun, katanya, dalam krisis MCA sekarang, anggota parti beranggapan campurtangan perdana menteri perlu bagi membantu meleraikan ketegangan di dalam MCA, lapor Bernama.

Sehubungan itu, beliau yang timbalan menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan berkata parti itu menghargai keprihatinan Dauk Seri Najib Tun Razak untuk berjumpa dengan semua pemimpin kumpulan yang bertelagah dalam MCA.

Beliau berkata MCA menganggap tindakan Najib yang juga pengerusi BN, sebagai tepat demi menjaga keharmonian.

"Kita faham dengan keprihatinan beliau terhadap semua parti terutama bagi yang sedang mengalami masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Antarabangsa Asia Ke-24 di ibunegara hari ini.

Pameran yang berlangsung sehingga 31 Januari depan bertempat di Balai Seni Lukis Negara dengan menampilkan 230 pelukis dari China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura dan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang mahu berjumpa dengan semua pemimpin kumpulan yang bertelagah dalam MCA secara berasingan sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) 28 November untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis dalam parti itu.

Heng turut menyangkal dakwaan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong kononnya beliau (Heng) seperti memaksa Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat agar segera mengisi kekosongan jawatan dalam majlis presiden MCA dengan menghantar SMS.

Beliau yang juga setiausaha agung Wanita MCA berkata, SMS yang dihantarnya kepada Ong adalah bagi menyampaikan hasrat supaya presiden parti mempertimbangkan pelantikan seorang atau lebih timbalan menteri sebagai anggota majlis itu.

"Sebenarnya kalau dilihat pada Artikel 46 perlembagaan parti, kita akan dapati bahawa dakwaan dia (Wee) itu tidak berasas kerana ia jelas menyatakan presiden berkuasa melantik seorang atau lebih timbalan menteri dalam majlis presiden," kata Heng.

Katanya tujuan SMS itu juga bagi memaklumkan kepada Ong mengenai hasratnya (Heng) dan beberapa wakil Wanita MCA untuk berjumpa Ong bagi membincangkan kedudukan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun yang telah disingkirkan daripada majlis presiden.

Tiada ulasan: