Khamis, 26 November 2009

MCA: EGM Sabtu ini dibatalkan

MALAYSIA KINI


EGM yang dipanggil penyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai Sabtu ini dibatalkan ekoran kata sepakat dicapai antara semua puak-puak yang bertelagah mengenai tarikh baru pemilihan parti itu. Mesyuarat agung (AGM) MCA yang dijadual 5 Disember ini turut ditangguh.

EGM yang dipanggil penyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai Sabtu ini dibatalkan ekoran kata sepakat dicapai antara semua puak-puak yang bertelagah mengenai tarikh baru pemilihan parti itu.

Liow dan tiga pemimpin parti itu yang sebelum ini meminta EGM diadakan berkata, kata sepakat sudah dicapai mengenai tarik baru pemilihan parti antara Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Liow.

"Kami juga percaya mesyuarat agung (AGM) yang dijadual 5 Disember ini turut ditangguhkan supaya pemilihan baru dapat diadakan ketika AGM baru nanti," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka bagaimanapun tidak menyebut tentang tarikh baru bagi pemilihan pucuk pimpinan parti itu.

Sabtu ini, para perwakilan yang sudah hadir untuk EGM tersebut akan diberi taklimat oleh Liow dan pemimpin yang menyokongnya mengenai persepakatan tersebut.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa anggota jawatankuasa pusat MCA, Wong Nai Chee - salah seorang yang meminta EGM diadakan - akan mengumumkan pembatalakan EGM itu petang ini.

Malam tadi, penyokong Liow dan Chua telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ditugaskan untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA.

Presiden MCA yang juga menteri pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang telah berdamai dengan Chua, tidak hadir kerana berada di London atas urusan rasmi.

Capai kata sepakat

Difahamkan bahawa pihak-pihak yang bertelagah itu telah mencapai kata sepakat mengenai pemilihan parti, yang menurut sumber-sumber mungkin Januari ini.

Sebelum ini, penyokong Liow mahu ia diadakan bulan depan manakala Chua pula menyarankan bulan Mac.

Pendirian Ong pula dilihat kabur mengenai isu mengadakan pemilihan baru itu.

Dalam satu SMS kepada Malaysiakini petang ini, Ong berkata sebarang pemilihan baru perlu diputuskan oleh jawatankuasa pusat (CC) MCA, yang mana anggotanya mesti terlebih dahulu mengosongkan kerusi mereka.

Katanya, sebarang pengumuman mengenai tarikh pemilihan baru parti pada masa ini dianggap tidak menghormati CC dan perlembagaan parti.

Tiada ulasan: