Selasa, 10 November 2009

MCA: EGM 28 Nov perlu ramai perwakilan

Kuek Ser Kuang Keng


Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA yang dijadualkan pada 28 November ini memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya separuh daripada 2,380 perwakilan pusat bagi memastikan keputusan yang dibuat meyakinkan.

Ahli jawatankuasa pusat (CC), Wong Nai Chee memberitahu Malaysiakini bahawa masih terlalu awal untuk meramalkan jumlah kehadiran perwakilan. Wong adalah antara tiga ahli CC yang menghantar memorandum meminta EGM itu diadakan.

"Perlembagaan parti menyatakan bahawa kuorum kehadiran mestilah satu pertiga daripada jumlah perwakilan.

"Tetapi tidak boleh hanya 793 perwakilan sahaja yang hadir. Kita perlukan lebih dari separuh (perwakilan) hadir bagi memastikan keputusannya menyakinkan," katanya.

MCA yang kini berdepan dengan krisis kepimpinan, mempunyai seramai 2,380 perakilan pusat.

Wujud keraguan sama ada EGM kedua yang dipanggil oleh penyokong naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mampu mendapatkan jumlah perwakilan yang diperlukan, kerana ramai yang sudah begitu kecewa dengan krisis yang berlarutan dalam parti itu.

Kumpulan penyokong presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata mereka tidak akan mengiktiraf keputusan EGM kedua itu.

Sebabnya mereka mendakwa, satu daripada dua resolusi memanggil pemilihan baru parti, bercanggah dengan perlembagaan MCA.

Jumlah perwakilan yang ramai menghadiri EGM kedua itu adalah penting kerana Liow dan penyokongnya perlu jumlah tersebut untuk meluluskan resolusi dan memaksa penyokong Ong mematuhi keputusan tersebut.

Kumpulan Liow telah menubuhkan pasukan petugas sementara bagi memulihkan integriti MCA, yang menjalankan kempen di seluruh negara bagi menjelaskan kepada perwakilan mengenai perlunya pemilihan baru parti diadakan.

Majlis pelancaran kempen tersebut berlangsung di Kuala Lumpur Ahad lalu dengan dihadiri oleh kira-kira 200 ahli MCA. Laporan media menyifatkannya sebagai 'kurang sambutan'.

Di samping itu, ramai daripada mereka yang hadir itu juga dikatakan penyokong dari negeri-negeri lain, sedangkan majlis taklimat tersebut disasarkan untuk perwakilan dari ibunegara dan Selangor.

Wong bagaimanapun menafikannya, sambil menjelaskan bahawa pada awalnya merupakan jamuan makan malam dengan perwakilan, tetapi kemudiannya ditukar kepada majlis taklimat atas permintaan ramai daripada mereka yang hadir.

"Tidak tidak menyangka sambutannya begitu menggalakkan," katanya.

Taklimat berikutnya akan diadakan di Kuantan esok.

Tiada ulasan: