Isnin, 30 November 2009

MB: TAWAS Bantu Masa Depan Kanak-kanak

TV SELANGOR


Sedar dengan tanggungjawab mencorak generasi akan datang, Kerajaan Negeri Selangor melangkah ke hadapan dengan menubuhkan tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha berkenaan merupakan antara langkah kerajaan negeri dalam memastikan masa depan kanak-kanak di negeri ini terjamin.

Katanya, program berkenaan juga merupakan antara projek terpenting dalam memastikan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) tercapai.

"Negeri Selangor sangat menghargai tentang adanya masa depan raykat negeri Selangor, oleh sebab itu kita telah melancarkan Tabung Warisan Anak Selangor yang mana mereka-mereka yang lahir di Selangor, seorang daripada ibu bapanya ialah orang Selangor, boleh terus mendaftar di pejabat daerah ataupun melayari laman sesawang Kerajaan Negeri Selangor dan mendaftar anak mereka menjadi ahli dalam Tabung Warisan Anak Selangor,"katanya.

Menurut beliau lagi, setiap pendaftaran baru dalam program ini akan menerima RM100 daripada kerajaan negeri sebagai hadiah permulaan dalam pelaburan berkenaan.

Khalid berkata, dengan adanya program tersebut secara tidak langsung ia dapat membantu kerajaan negeri mengenal pasti jumlah anak Selangor dan memudahkan peruntukan membesarkan tabung ini dilakukan mengikut keperluan.

"Jadi ini satu daripada usaha supaya kerajaan negeri dapat mengenalpasti anak-anak di negeri Selangor yang mana tiap-tiap tahun kita membuat peruntukan supaya tabung ini menjadi lebih besar,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pesta Hari Kanak-Kanak dan Sambutan Hari Kesihatan anjuran Pusat Perkhidmatan Adventist Kuala Selangor di Tesco, Kuala Selangor.

Adventist adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuh secara rasmi pada 1983 merupakan sebuah pusat khidmat yang menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah ADUN Bukit Melawati, I.R Muttiah, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Haris Kasim dan Pengurus Tesco Kuala Selangor, Roslan Mohd Abdul Rahman

Tiada ulasan: