Rabu, 4 November 2009

MB berhak pecat ketua kampung

Oleh Shamsul Kamal Amarudin


IPOH: Mahkamah Tinggi di sini, semalam diberitahu, Menteri Besar berhak menamatkan perkhidmatan ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri terdahulu kerana pelantikan mereka dibuat berdasarkan pertimbangan politik.

Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Shahid, berkata setiap ketua kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia maklum dan mengetahui jika pucuk kepemimpinan kerajaan negeri berubah, kedudukan mereka juga akan terumbang-ambing kerana pelantikan mereka tiada kontrak perkhidmatan serta mengikut budi bicara kerajaan sedia ada.

Katanya, ia berbeza dengan pelantikan kakitangan awam yang mempunyai kontrak perkhidmatan, aku janji dan sumpah menyimpan rahsia mengikut peraturan Perintah-Perintah Tetap perkhidmatan awam yang membolehkan kedudukan mereka tidak berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan negeri.

"Tidak ada mana-mana pihak atau ejen responden (kerajaan negeri) yang memberi janji kepada mereka (ketua kampung yang dilantik pembangkang) jawatan itu akan dikekalkan bila kerajaan baru memerintah.

"Timbalan Setiausaha (Pentadbiran) kerajaan negeri, Datuk Jamal Mahusin, adalah orang yang tiada berkepentingan, sudah memberitahu mengenai klausa perkhidmatan dan ketiadaan kontrak perkhidmatan kepada semua 816 ketua kampung terbabit dalam satu taklimat," katanya ketika memberi hujahan balas kes saman Mohd Ridzuan Asit dan ketua kampung lain yang dilantik ketika pemerintahan pembangkang terhadap kerajaan Perak sebelum ini.

Kerajaan negeri diwakili Ahmad Kamal serta Timbalannya, Zulkarnain Hassan manakala Mohd Ridzuan diwakili Mohd Yunus Ali, Chan Kok Keong dan Leong Cheok Heng di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim.

Dalam samannya, Mohd Ridzuan memohon perintah mahkamah membatalkan tindakan kerajaan negeri yang menamatkan perkhidmatan sebaliknya melantik semula mereka sebagai

ketua kampung, perintah deklarasi bahawa pemecatan atau penamatan perkhidmatan mereka adalah batal dan tidak sah, memohon perintah injunksi melarang kerajaan melantik sesiapa yang lain sebagai ketua kampung, memohon injunksi melarang kerajaan membenarkan dewan orang ramai dalam semua kampung dari digunakan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Dalam permohonan dikemukakan pada 26 Mei lalu itu, Ridzuan juga menuntut ganti rugi untuk dibayar kepada pemohon dan menuntut suatu siasatan dan taksiran ganti rugi kepada pemohon.

Ridzuan dan lain dilantik kerajaan pembangkang pada 7 Ogos 2008 sehingga 31 Julai 2010 tetapi apabila BN mengambil alih kerajaan negeri, perkhidmatan mereka ditamatkan berkuatkuasa pada 16 April lalu.

Ahmad Kamal berkata, kerajaan negeri mengambil tindakan yang betul mengikut garis panduan dalam Peraturan 3.6 pentadbiran awam iaitu Menteri Besar berhak menamatkan perkhidmatan mana-mana ketua kampung sekiranya mereka didapati tidak layak dan tidak sesuai memegang jawatan itu.

Beliau berkata, walaupun ketua kampung ketika pemerintahan pembangkang dipilih melalui proses pengundian tetapi peraturan menetapkan hanya kerajaan negeri yang boleh membuat pelantikan terhadap mereka.

"Kerajaan negeri sekarang semestinya tidak boleh mempercayai pelantikan ketua kampung terdahulu sebab tidak tahu pendirian politik mereka dan sudah menjadi kelaziman mana-mana parti politik memerintah akan melantik orang yang mereka percaya sebagai ketua kampung.

"Pelantikan ketua kampung merupakan satu kedudukan yang istimewa dan pemilihan mereka berdasarkan senario politik semasa, mereka bukan kakitangan awam, tetapi memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai projek kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: