Selasa, 3 November 2009

Mayat Sharul ditemui sejauh 60km


MOHD. SHARUL AZRI

UTUSAN ONLINE

TELUK INTAN - Mayat murid tahun satu sekolah rendah yang terjatuh ke dalam parit ketika melalui jambatan di Kampung Gajah Mati, Sungai Buaya dekat sini, semalam, akhirnya ditemui pada lewat petangnya, kira-kira 60 kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohd. Fakri Che Sulaiman ketika mengesahkan penemuan itu berkata, operasi mencari mangsa berjaya menemui mayat Mohd. Sharul Azri Mohd. Taufid, 7, pada pukul 5.55 petang.

Penemuan tersebut sekali gus menghampakan kedua ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Sungai Jawi itu yang mengharapkan anak lelaki mereka selamat.

''Saya pasrah. Walaupun terlalu sedih, kami reda dengan kehendak Ilahi," kata Rosnah Ahmad, 30, ibu kepada Mohd. Sharul sedih ketika ditemui di Hospital Changkat Melintang, di sini lewat malam semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Taufid Mustafa, 33, yang cuba menenangkan perasaan isterinya itu melahirkan rasa kesal dengan layanan pihak hospital ketika proses menuntut mayat.

''Kami terpaksa tunggu dalam trak polis hampir satu jam, pada masa itu bilik mayat masih lagi dikunci. Perkara ini tak harus berlaku,'' ujarnya.

Dalam tempoh tersebut, kata Mohd. Taufid, dia dan isteri hanya mampu menatap wajah anak kesayangan mereka tanpa boleh berbuat apa-apa.

''Bayangkan sahaja perasaan kami. Sepatutnya ada kakitangan yang bertugas di unit bilik mayat berkenaan,'' luah Rosnah sambil menangis teresak-esak.

Di sebalik perasaan tidak puas hati, pasangan suami isteri itu tetap berterima kasih kepada pihak polis, bomba, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta orang kampung yang turut sama dalam operasi mencari anaknya.

Tiada ulasan: