Ahad, 1 November 2009

Masjid, surau lengkap sistem multimedia

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Sebanyak 30 masjid dan surau yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat di Kuala Lumpur akan dilengkapi sistem multimedia bagi memudahkan jemaah akses penuh kepada khutbah yang dibacakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, proses menaik taraf yang melibatkan kos sebanyak RM265,000 ini telah diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal semalam dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Ini kerana sesetengah masjid ada yang sempit dan banyak tiang... PA sistem pun kadang-kadang tak berapa nak dengar... para jemaah akan terganggu untuk dapatkan akses ketika mendengar khutbah tok imam...jadi dia (jemaah) pun banyak tidur daripada mendengar,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Masjid Saidina Hamzah, Jalan Ipoh di sini, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu Jamil Khir berkata, Majlis Agama Wilayah Persekutuan (Maiwp) sedang merancang untuk membentuk skuad kebajikan yang akan bertindak segera memberi bantuan kepada mangsa bencana alam di dalam dan luar negara.

“Di bawah Maiwp kita mempunyai kemudahan perubatan seperti pasukan doktor, jururawat dan Hospital Pusrawi...jadi pada waktu-waktu tertentu kita dapat gerakan pasukan ini...ini sekali gus dapat memberi nilai tambah kepada agensi-agensi kerajaan seperti Maiwp,” katanya.

Tiada ulasan: