Jumaat, 20 November 2009

Masih gagah tunai haji meskipun usia 93 tahun

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: "Saya bersyukur ayah masih dikurniakan kesihatan untuk menunaikan haji walaupun sudah berusia 93 tahun dan berharap beliau dapat menjalani rukun kelima itu dengan selamat," kata Sulaiman Abdul Rauf, 54 yang menemani ayahnya, Abdul Rauf Ariffin ke Makkah.

Beliau bersama ayah, ibu serta isterinya yang berangkat jam 5.30 petang semalam, berkata berkat sumbangan anak-anak serta doa keluarga hajat ayahnya akhirnya tercapai juga.

"Ini kali pertama ayah ke Makkah. Saya berdoa semoga Allah memberi kesihatan serta kekuatan kepadanya dan ibu, Halima Abdul Rahman, 83, untuk menunaikan ibadat haji dengan sempurna.

"Kesihatan ayah saya agak baik dan mampu berjalan tetapi ibu menghidap kencing manis namun saya percaya mereka masih kuat untuk menunaikan haji. Apa pun kami bersyukur kerana ayah mendapat peluang untuk ke Makkah walaupun baru mendaftar pada Februari lalu, " katanya yang turut ditemani isteri, Salmah Jalil, 54.

Sulaiman berkata, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kesihatan ayah dan ibunya di Tanah Suci berada di tahap yang baik.

Abdul Rauf yang menghadapi masalah pendengaran kerana faktor umur juga kelihatan gembira dan bersemangat untuk berangkat ke Makkah yang menjadi impiannya sejak sekian lama.

Tiada ulasan: