Jumaat, 6 November 2009

Masalah 6 bakal haji terkandas selesai

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengesahkan enam bakal haji yang mendakwa terkandas apabila nama mereka tidak tersenarai dalam penerbangan kelmarin sudah diselesaikan dan jemaah itu dijangka berlepas hari ini.

Namun, laporan yang disiarkan media massa mengatakan 60 bakal jemaah terkandas dalam kejadian itu adalah salah sebaliknya hanya enam yang mengalami masalah berkenaan.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Rashid Hussein, berkata masalah enam jemaah itu berpunca daripada agensi pelancongan yang lewat memaklumkan kepada bakal jemaah berkenaan bahawa tarikh penerbangan mereka ditukar kepada hari lain.

“Sebenarnya, enam bakal jemaah terbabit sudah tersenarai, cuma dalam penerbangan yang berasingan, bukan berlepas pada hari kejadian (pagi kelmarin).

“Pihak agensi pelancongan terbabit sudah memaklumkan kepada Tabung Haji bahawa masalah itu berpunca daripada pihaknya kerana gagal memaklumkan tarikh penerbangan sebenar kepada jemaah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dakwaan jemaah mengatakan nama mereka tidak tersenarai hanya andaian semata-mata kerana tidak merujuk kepada agensi pelancongan.

terlebih dulu.

“Enam jemaah iaitu seorang lelaki dan lima wanita sudah ditempatkan di Kelana Jaya dan kini segala kemelut sudah selesai.

“Tabung Haji berharap tidak timbul lagi masalah berbangkit selepas ini kerana enam bakal jemaah ini akan bertolak esok (hari ini),” katanya.

Tiada ulasan: