Ahad, 8 November 2009

Mangsa banjir meningkat

Oleh AZRAN FITRI RAHIM


KOTA BHARU - Keadaan banjir di negeri ini secara keseluruhannya semakin pulih, walaupun pada sebelah pagi terutama pekan Rantau Panjang lumpuh akibat dinaiki air.

Bagaimanapun sehingga lewat petang ini, keadaan cuaca semakin baik dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan semakin menurun berbanding pada sebelah pagi.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir negeri, perkembangan itu berikutan keadaan cuaca yang semakin baik dengan kadar hujan yang amat sedikit dan cuaca cerah di beberapa jajahan di negeri ini terutama di Kota Bharu.

"Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat berbanding semalam tetapi disebabkan cuaca yang baik kita menjangkakan jumlah tersebut akan berkurangan sehingga esok.

"Secara keseluruhan sehingga pukul 5 petang ini jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 30 pusat pemindahan adalah sebanyak 2,031 orang dan mengikut pecahan, Pasir Mas terutama di pekan Rantau Panjang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,338 orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, di Jajahan Tanah Merah jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ialah sebanyak 413 orang, Machang (190), Bachok (61) dan Kota Bharu seramai 29 orang manakala pusat pemindahan banjir di Kuala Krai ditutup hari ini.

Jalan-jalan yang masih ditutup ialah di Tanah Merah, Jalan Lalang Pepuyu-Rantau Panjang; Bukit Kecil-Kampung Murin; Kusial-Kampung Ipoh dan Panglima Bayu-Rantau Panjang.

Di Pasir Mas, Jalan Lubok Setol-Bukit Tandak; Jalan Pusu 40 dan Tanjung Puteri dari Kilometer 49-49.25 manakala di Kota Bharu melibatkan Jalan Pantai Cahaya Bulan. Kesemua jalan tersebut dinaiki air sekitar satu meter.

Ekoran daripada keadaan cuaca yang semakin baik, Jabatan Meteorologi dalam laman webnya menarik balik amaran hujan lebat peringkat merah yang dikeluarkan semalam untuk negeri ini dan Besut, Terengganu.

Bagaimanapun jabatan tersebut meramalkan sepanjang minggu ini hujan akan turun tetapi tiada ribut petir.

Dalam pada itu, tiga stesen bacaan penanda aras banjir di negeri ini masih mencatatkan air di paras bahaya. Tiga stesen tersebut ialah Sg. Golok di Rantau Panjang dan dua di Sungai Kelantan iaitu Kusial dan Jeti Kastam.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi meminta orang ramai mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Tiada ulasan: