Selasa, 10 November 2009

Mangsa banjir kembali meningkat


Satu penempatan di Kampung Simpangan, Tumpat seperti sebuah pulau akibat banjir yang melanda Kelantan sejak Jumaat lalu.

RANTAU PANJANG - Jumlah mangsa yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di negeri ini meningkat kepada 3,947 orang lewat petang ini.

Kesemua mangsa adalah dari jajahan Pasir Mas terutama di Rantau Panjang dan jajahan Tumpat.

Ini berikutan air Sungai Golok yang masih melimpah ke beberapa kawasan rendah di jajahan itu.

Sehingga kini, 18 sekolah terpaksa ditutup akibat banjir dan dijadikan pusat pemindahan selain 13 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan jajahan Tumpat dan Pasir Mas masih terjejas teruk.

Menurutnya, di Tumpat, 1,246 orang mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor (SKPK) 1 dan SKPK 2 serta SK Bunohan.

"Mangsa banjir di Rantau Panjang makin berkurangan iaitu 2,701 orang yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan di Pasir Mas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, walaupun paras air Sungai Golok dan Jenob menurun namun ia masih di paras bahaya iaitu 9.77 meter (bahaya 9 meter) dan 20.43 meter (bahaya 23.50 meter).

Ujar beliau, paras air di sungai lain masih di tahap normal dan berjaga-jaga iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai ialah 19.40 meter (bahaya 25 meter), Tambatan Diraja 1.44 meter (bahaya 5 meter), dan Sungai Lebir 24.84 meter (bahaya 35 meter).

Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ghazali Abdul Rahman berkata, 18 sekolah ditutup sehingga kini dan notis penutupan telah dikeluarkan kepada semua sekolah.

"Semua sekolah ini hanya dibuka semula selepas keadaan kembali pulih manakala jumlah kerugian akan dibincangkan nanti," ujarnya.

Penyelia Kanan Kemas Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa berkata, beberapa tabika ditutup kerana ditenggelami air sedalam satu hingga dua meter sejak semalam.

"Seramai 450 kanak-kanak terlibat dengan penutupan itu dan beberapa Tabika ditutup kerana guru berada di kawasan yang ditenggelami air dan terpaksa berpindah," ujarnya.

Tiada ulasan: