Rabu, 4 November 2009

Malaysia kini peneraju kewangan Islam

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Malaysia kini menjadi peneraju dalam pasaran kewangan Islam antarabangsa dengan modal pasaran mencecah RM803 bilion sehingga 31 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah pasaran modal itu mewakili 54 peratus daripada modal pasaran Bursa Malaysia.

Sukuk juga mengekalkan penguasaannya dalam pasaran bon Malaysia yang berjumlah 58 peratus daripada jumlah pasaran bon tempatan.

"Pasaran modal kewangan Islam Malaysia merupakan antara yang terbaik dan tumbuh begitu pantas pada kadar yang berpatutan dan dengan pelbagai tawaran produk, infrastruktur serta pelabur berpotensi mampu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara perkembangan kewangan Islam terbesar di dunia," katanya dalam ucapan perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) keenam di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak pengenalan sukuk pada tahun 2002, sudah terdapat petanda yang konsisten di dalam aliran inovasi kewangan berasaskan syariah di negara ini.

Ujarnya, melihat kepada masa depan permintaan produk-produk pasaran modal Islam tidak akan berkurangan sama ada dalam negeri atau antarabangsa.

"Permintaan yang tinggi di kalangan pasaran kewangan antarabangsa untuk meningkatkan industri ini akan membantu meluaskan lagi capaian kewangan Islam dan kemahiran peserta-peserta industri ini di peringkat lebih tinggi," katanya.

Najib berkata, sehingga suku kedua tahun ini Malaysia telah mencapai kejayaan yang membanggakan di dalam kewangan Islam dan ia telah dibuktikan dengan sektor itu telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM115 bilion yang mewakili 15.5 peratus portfolio keseluruhan industri perbankan tempatan serta pembiayaan tidak berbayar kekal pada kadar 2.4 peratus.

Selain itu katanya, sektor takaful juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan jumlah dana aset terkumpul meningkat 19 peratus bagi tempoh sehingga 30 Jun lalu.

Tiada ulasan: