Selasa, 10 November 2009

Makmal analisis halal pertama beroperasi tahun depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Makmal Analisis Halal pertama di Malaysia akan beroperasi awal tahun depan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, bagi membantu mengatasi masalah kekurangan makmal yang berupaya menjalankan analisis terhadap produk makananan halal yang selama ini bergantung kepada Jabatan Kimia Malaysia.

Makmal berharga RM10 juta yang mula dibina pertengahan tahun ini akan membolehkan analisis kajian terhadap produk berunsurkan daging, lemak, alkohol dan gelatin yang mengandungi produk tidak halal, diketahui secara terperinci.

Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Prof Madya Dr Suhaimi Mustafa, berkata makmal halal itu mampu memberikan keputusan ujian terhadap Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang terdapat dalam sesuatu produk hanya dalam tempoh dua jam.

"Ujian terhadap pelbagai produk seperti perubatan, makanan, kosmetik dan pakaian bagi menentukan tahap halalnya dapat dilaksanakan di makmal ini.

"Tempoh keputusan ujian terhadap barangan tersebut ditentukan berdasarkan jumlah kandungan produk tersebut," katanya yang ditemui selepas berucap pada Seminar Sehari Kesedaran Produk Makanan Halal UPM, di sini hari ini.

Katanya, dengan adanya makmal berkenaan pengguna Islam akan lebih merasa selesa dan selamat terhadap produk yang dikeluarkan pengilang dan pengeluar di pasaran tempatan.

Tiada ulasan: