Ahad, 1 November 2009

Mahkamah tolak permohonan bapa Nurin Jazlin

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi (Sivil) di sini, semalam menolak permohonan bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil untuk mendapatkan keputusan berhubung kes samannya terhadap polis dan Kerajaan Malaysia kerana cuai sehingga gambar bedah siasat anaknya tersebar melalui Internet.

Hakim, Datin Zabariah Mohd Yusof bagaimanapun, mengarahkan kes ini dilakukan perbicaraan penuh sebelum mahkamah memutuskan sebarang keputusan. Prosiding semalam dikendalikan dalam kamar mahkamah.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes berkenaan 17 Disember depan, bagi mendapatkan tarikh untuk prosiding perbicaraan penuh.

Sementara itu, peguam Akbardin Abdul Kadir yang mewakili Jazimin ketika ditemui berkata, pihaknya akan mengemukakan kira-kira tiga atau empat saksi yang antara lainnya terdiri daripada Jazimin dan ibu kepada arwah kanak-kanak malang tersebut.

“Mahkamah mahu kes ini dilakukan secara perbicaraan penuh dan tidak boleh memberi keputusan sebelum mendengar keterangan daripada saksi-saksi.

“Walaupun, dalam pembelaan yang dikemukakan, pihak defendan mengaku telah mengenal pasti pesalah terlibat sehingga mengakibatkan hal ini berlaku iaitu seorang anggota polis bernama Amran Arifin,” katanya.

Akbardin turut memberitahu dalam pernyataan pembelaan defendan, pihak terbabit menyatakan telah mengenal pasti pesalah terlibat dan tindakan tatatertib juga telah dikenakan.

“Sehubungan itu, dalam hujah saya menyatakan tidak perlu dilakukan perbicaraan kerana siapakah pesalah terlibat telah pun dikenal pasti. Bagaimanapun, mahkamah masih berpendapat perlu dilakukan perbicaraan penuh,” katanya.

Tiada ulasan: