Jumaat, 6 November 2009

Mahkamah Persekutuan tangguh rayuan Nizar

MERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam, menangguhkan keputusan rayuan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah kepada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embang, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pihak terbabit.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bertindak sebagai pencelah manakala barisan peguam Mohammad Nizar diketuai Sulaiman Abdullah dan peguam, Datuk Cecil Abraham mewakili Zambry dalam prosiding semalam.

Sebelum itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Mohammad Nizar menerusi peguam, Datuk S Ambiga supaya rayuannya didengar oleh panel 11 hakim.

Mohammad Nizar turut hadir di mahkamah bagi mengikuti keseluruhan prosiding rayuan berkenaan.

Sulaiman berhujah keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Zambry satu kesilapan kerana mahkamah berkenaan tidak mengikuti peruntukan betul Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).

Abdul Gani pula berhujah, perayu memohon menghadap Sultan Perak untuk memohon supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan mengikut peruntukan 16 (6) UTNP apabila beliau gagal mendapat sokongan daripada majoriti ahli DUN.

Katanya, kegagalan perayu untuk mendapatkan perkenan Sultan Perak bagi membubarkan DUN bermakna mereka perlu meletakkan jawatan dan mengosongkan pejabat secara automatik.

Cecil memberitahu mahkamah undi tidak percaya tidak perlu dibuat dalam DUN sebab UNTP tidak menyatakan tindakan itu perlu dibuat di mana-mana.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Zambry mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Tiada ulasan: